Terapi 5 Bintang! Anuar Zain, Dayang & Ella 'Rawat' 20,000 Jiwa Di Pesta Muzik Healing Nite 2026
- MYB
- 1 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Stadium Merdeka bergema malam Sabtu lalu dengan emosi apabila konsert 'Healing Nite 2026' berjaya memukau 20,000 penonton yang hadir untuk mencari ketenangan lewat alunan muzik barisan bintang tersohor Nusantara.

Menampilkan gandingan hebat legenda tanah air terdiri daripada Anuar Zain, Ratu Rock Ella, dan vokal emas Dayang Nurfaizah bersama sensasi Indonesia, Lyodra dan Kangen Band, acara ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah medan terapeutik yang cukup mengesankan.

Suasana "healing" dirasai seawal jam 1.00 petang menerusi Healing Tent dan zon relaksasi yang menyediakan urutan aromaterapi, serta seleksi makanan dan minuman daripada vendor terpilih seperti Lado, Coffee Bean, dan Teratak Spa yang menyantuni pengunjung sepanjang hari.
Antara sorotan paling menyentuh hati adalah kehadiran seorang peminat setia, Puan Rokiah Hamzah atau lebih mesra disapa Mak Cik Rokiah, 81 tahun. Walaupun mula menunjukkan tanda-tanda demensia, ingatan beliau terhadap Anuar Zain kekal utuh sejak zaman penyanyi itu popular dengan lagu "Kain Pelikat" pada awal 80-an.

Kehadiran Mak Cik Rokiah bersama anak dan cucunya menjadi bukti betapa muzik mampu menjadi penghubung kasih sayang yang merentasi zaman.
Pentas Healing Nite dihangatkan dengan persembahan bertenaga namun penuh jiwa. Dayang Nurfaizah memukau dengan lagu Lelaki Teragung, manakala Lyodra menyentuh hati penonton lewat lagu hits Sang Dewi dan Pesan Terakhir.

Sementara itu, Kangen Band pula membawa nostalgia dengan lagu Yolanda dan Doy, sebelum pentas digegarkan oleh Ella dengan Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.
Anuar Zain menutup malam penuh makna tersebut dengan rangkaian lagu berhantu termasuk Sedetik Lebih dan Keabadian Cinta, meninggalkan memori indah buat semua yang hadir.
Dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Yumeca Sdn Bhd dan Creative Page Sdn Bhd, Healing Nite 2026 mengangkat konsep unik di mana muzik, emosi, dan kesejahteraan disatukan. Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz menyifatkan acara ini sebagai inisiatif untuk membuktikan bahawa hiburan boleh menjadi proses penyembuhan yang santai dan tidak semestinya "keras dan bingit".









Komen