Sindiran Tajam Kmy Kmo & Luca Sickta, 'Kertas Wangi' Bongkar Sifat Hamba Duit Dalam Lagu Rap Berhantu!
- MYB
- 3 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Pasangan duo hip hop yang cukup disegani dengan naskhah-naskhah sarat mesej nusantara, Kmy Kmo dan Luca Sickta, sekali lagi mencuri tumpuan apabila memilih lokasi ikonik Pasar Seni (Central Market) untuk melancarkan buah tangan terbaharu mereka berjudul Kertas Wangi.

Berbeza dengan trend muzik semasa yang sering mengagungkan kemewahan, Kertas Wangi hadir sebagai satu 'tamparan' lembut namun berbisa. Ia membawa naratif kritikan sosial yang mendalam mengenai bahaya sifat materialistik yang semakin membarah dalam masyarakat hari ini.
Menurut Kmy Kmo, tajuk Kertas Wangi itu sendiri adalah satu metafora sinis. Ia menggambarkan bagaimana wang yang hanyalah sekeping kertas mampu menjadi begitu 'wangi' sehingga menutup mata hati manusia daripada melihat nilai budi dan kebenaran.
"Inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatian seharian. Kita berlumba-lumba mengejar gaya dan tekanan hidup sehingga lupa bahawa perkara material ini hanyalah sementara. Lagu ini adalah cerminan diri bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya," jelas Kmy Kmo mengenai intipati lagu tersebut.

Luca Sickta turut menyokong pandangan tersebut dengan menekankan bahawa Kertas Wangi bukan sekadar luahan peribadi, tetapi satu refleksi umum agar pendengar tidak membiarkan dunia material menguasai jiwa.
Kekal setia dengan identiti mereka yang memartabatkan warisan, lagu terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini menggabungkan rentak rap moden dengan elemen tradisi Pantai Timur, iaitu Dikir Barat menerusi lagu rakyat ''Eh Wau Bulan'.
Luca, yang bertindak sebagai penerbit muzik, menjelaskan bahawa gabungan beat tegas dan harmoni vokal latar ala dikir direka khusus untuk membangkitkan emosi, memastikan mesej berat yang disampaikan Kmy melalui rap dapat dihadam dengan jelas dan jujur.
Majlis pelancaran yang berlangsung hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Kenny Ong, yang menyampaikan plak single Kertas Wangi kepada duo tersebut.
Pemilihan Pasar Seni sebagai lokasi pelancaran dilihat sangat simbolik, selari dengan perjuangan seni mereka yang sentiasa mengangkat martabat budaya.
Peminat kini boleh menghayati bait-bait puitis Kertas Wangi menerusi semua platform penstriman digital utama seperti Spotify dan Apple Music. Video muzik lagu ini kini boleh ditonton menerusi platform Youtube rasmi KmyKmoVEVO.









Komen