top of page

ToyyibPay & Yayasan Restu Memeterai MoA Strategik: Malaysia Perkukuh Misi Global 1 Juta Waqf Al-Quran

  • Writer: MYB
    MYB
  • 25 minit lalu
  • 2 min membaca

PUTRAJAYA  – Malaysia sekali lagi melakar sejarah penting dalam usaha memartabatkan penyebaran Al-Quran ke seluruh dunia apabila ToyyibPay Sdn Bhd dan Yayasan Restu menandatangani Perjanjian Usaha Sama (MoA) bagi membangunkan sebuah Portal Waqf Digital yang lebih selamat, telus dan bersepadu.



Majlis pemeteraian tersebut berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, melibatkan Pengerusi ToyyibPay Sdn Bhd, Datuk Dr. Mazlan Ahmad, dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa.


Foto (5 dari kiri) Datuk Dr. Mazlan Ahmad, (5 dari kanan) Datuk Abdul Latiff Mirasa bersama  rakan strategik di sesi menandatangani MoA
Foto (5 dari kiri) Datuk Dr. Mazlan Ahmad, (5 dari kanan) Datuk Abdul Latiff Mirasa bersama rakan strategik di sesi menandatangani MoA

Kerjasama ini bertujuan menyokong dan memperkasa Inisiatif Global 1 Juta Waqf Al-Quran, sebuah komitmen negara yang tercetus selepas insiden pembakaran Al-Quran di Sweden pada tahun 2023. Ketika itu, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ikrar besar Malaysia:


“ Bagi setiap satu Al-Quran yang dibakar, Malaysia akan menghantar satu juta naskhah Al-Quran ke seluruh dunia.”


Dengan MoA ini, ToyyibPay akan menyediakan infrastruktur pembayaran digital patuh syariah yang diyakini, manakala Yayasan Restu membawa kepakaran lebih 30 tahun dalam percetakan, penjagaan dan pengedaran Al-Quran.


Datuk Dr. Mazlan menyifatkan usaha ini sebagai satu transformasi besar dalam memastikan setiap penyumbang waqf memperoleh keyakinan penuh terhadap aliran dan ketelusan sumbangan mereka.


“Kami mahu setiap waqf yang disalurkan menjadi manfaat berkekalan untuk generasi akan datang,” ujarnya.


Datuk Abdul Latiff pula menegaskan bahawa MoA ini bukan sekadar dokumen perjanjian, tetapi satu amanah untuk memastikan mesej Al-Quran terus sampai kepada lebih ramai penerima di seluruh dunia – dengan cara lebih moden dan mudah diakses.


Yayasan Restu sejak 2023 telah mengedarkan naskhah terjemahan Al-Quran dalam 30 bahasa ke lebih 20 negara, termasuk Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India dan Nigeria. Integrasi digital bersama ToyyibPay bakal mengukuhkan lagi operasi ini, sekali gus memastikan penyampaian Al-Quran dilakukan dengan akauntabiliti dan ketepatan melalui sistem pelaporan yang lebih jelas kepada para pewakaf.


Kompleks Nasyrul Quran telah lama menjadi pusat rujukan dunia dalam percetakan Al-Quran. Dengan kolaborasi bersama ToyyibPay, sebuah syarikat FinTech Islam yang pesat berkembang. Malaysia kini lebih bersedia muncul sebagai peneraju global dalam teknologi kewangan Islam, tadbir urus waqf digital, dan pengedaran Al-Quran berimpak global.


ToyyibPay juga mempunyai rangkaian kukuh lebih 200,000 peniaga dan lebih 5,000 masjid serta institusi Islam, menjadikannya pemacu utama dalam memperluas capaian Program Waqf Al-Quran ke Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika.


Dalam majlis sama, ToyyibPay turut memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) bersama Namirial, Kirarafics, dan Masjid Pro (HPCS Sdn Bhd). Kesemua MoU ini dijangka mengukuhkan lagi ekosistem digital Islam bawah naungan ToyyibPay.


Foto MoA bersama Namirial diwakili oleh Mr Filippo Giachi (Pengarah Urusan, Namirial Asia Pacific)– bagi modul keselamatan digital dan eKYC
Foto MoA bersama Namirial diwakili oleh Mr Filippo Giachi (Pengarah Urusan, Namirial Asia Pacific)– bagi modul keselamatan digital dan eKYC

Foto MoA bersama Kirarafics diwakili oleh Tuan Muhammad Firdaus Zakaria (Pengarah, Kirarafics) – untuk pembangunan perkhidmatan wasiat digital
Foto MoA bersama Kirarafics diwakili oleh Tuan Muhammad Firdaus Zakaria (Pengarah, Kirarafics) – untuk pembangunan perkhidmatan wasiat digital
Fotor MoA bersama Masjid Pro (HPCS Sdn Bhd) diwakili oleh Tuan Shaharizal Othman, (Ketua Pegawai Eksekutif) - bagi aplikasi mudah alih pengurusan masjid
Fotor MoA bersama Masjid Pro (HPCS Sdn Bhd) diwakili oleh Tuan Shaharizal Othman, (Ketua Pegawai Eksekutif) - bagi aplikasi mudah alih pengurusan masjid

Dengan pemeteraian MoA bersejarah ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh komitmen global terhadap penyebaran Al-Quran, tetapi turut memantapkan peranan sebagai hab teknologi kewangan Islam yang progresif. Usaha bersama ToyyibPay dan Yayasan Restu menjadi bukti bahawa transformasi digital mampu mengangkat kerja amal ke peringkat lebih tinggi, lebih telus dan lebih menyeluruh.




bottom of page