TV AlHijrah Saji Pelbagai Program Menarik Sempena Aidiladha 1444H
top of page
  • Writer's pictureMYB

TV AlHijrah Saji Pelbagai Program Menarik Sempena Aidiladha 1444H

Sempena kedatangan musim haji 1444H, memposisikan keberadaan sebagai media Islam yang senantiasa memperjuangkan Islam, mendokong aspirasi mewujudkan Malaysia Madani dan menjayakan Gagasan Al-Falah, TV AlHijrah berasa terpanggil untuk mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam yang penuh falsafah kehidupan untuk dihayati.



Dorongan untuk menjadi masyarakat yang beradab, berperikemanusiaan dan berkeadilan sebagaimana digariskan oleh matlamat mewujudkan Malaysia Madani ini telah lama dijelmakan melalui falsafah haji yang sentiasa mempromosikan sikap toleransi, sabar, hormat-menghormati, kasih-sayang dan pelbagai nilai murni dalam hubungan horizontal.


Untuk kempen Haji tahun ini, TV Alhijrah menaikkan slogan Jemputan Haji pada tahun ini, serta istiqamah dalam meneruskan agenda dakwahnya melalui beberapa program dirangka khas untuk mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke tanah suci, rasa pengharapan kepada undangan Allah kepada mereka yang belum berkesempatan menjadi tetamu-Nya dan mendorong keinginan penonton semua untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah apabila berkemampuan.


Pelbagai rancangan istimewa untuk kempen haji kali ini telah disusun untuk pengisian serta tontonan umum. Antaranya adalah seperti Program Cinta Ilmu Aidiladha melalui tiga segmen Islam, Iman dan Ihsan yang akan ke udara pada Isnin hingga Rabu, pukul 7.30 malam.


Program bual bicara Labbaikallah pula dikekalkan bagi mengundang nostalgia mereka yang pernah menunaikan ibadah ini mahupun mereka yang baru menerima jemputan pada tahun ini agar dapat mengubat rindu terhadap Baitullah serta mengimbau detik indah ketika melakukan persediaan awal hinggalah Hari Tasyrik.


Mulai bersiaran setiap hari bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini pada pukul 9 malam, program Labbaikallah kali ini akan mengundang barisan ustaz jemputan iaitu Ustaz Jafri, Ustaz Rozi, Ustaz Zarifi, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Hanafiah, Ustazah Muzayyanah dan Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Fazrul sebagai pentadabbur serta qari Ustaz Tarmizi dan Tilmiz Fahmi.


Manakala Peristiwa Haji yang bakal disiarkan pada malam raya pukul 10.30 malam pula bertujuan mengajak penonton mengimbas kembali peristiwa-peristiwa di sebalik ibadah haji, untuk diekstrak iktibar darinya sebagai panduan kehidupan, diteruskan pada tahun ini atas permintaan penonton diharapkan dapat melorongkan masyarakat kepada hasil didikan ibadah ini iaitu hidup bersatu dalam harmoni.


GALERI



Selain itu Kempen Haji tahun ini juga diimarahkan dengan program Siaran Langsung Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2023 yang telah bermula dari 11 Jun 2023 hingga 16 Jun 2023 ini di mana Pulau Pinang menjadi tuan rumah.


Program Munajat Arafah berdurasi dua jam yang akan disiarkan pada 28 Jun, pukul 12.30 tengah hari hingga 7.00 malam pula akan membawa penonton bermunajat kepada Allah dan memperingati kelebihan Hari Arafah.


Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, Program Rehlah Ibrahim dan Seikhlas Hati.


Dalam pada itu juga, TV AlHijrah turut juga membariskan beberapa program malar segar seperti Kapsul Ibadah Haji, Al-Haramain, Interaktif Haji, Ustaz Pilot, Tangisan Baitullah yang telah dimulakan siarannya sejak 22 Mei lalu. Selain itu, Sembang Haji yang membincangkan isu-isu haji dan menjawab persoalan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat juga diteruskan untuk terus menjadi rujukan para jemaah.


Show reel Kempen 'Jemputan Haji' bersempena sambutan Aidiladha 1444H di TV AlHijrah



Program-program yang diatur ini diharapkan dapat membentuk sebuah masyarakat yang kaya ilmu, bertamadun dan berjaya menjadi sebuah negara yang mendapat suluhan wahyu-Nya di mana kemanusiaan dan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang adil dan berkesan melalui enam nilai teras iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat-menghormati, amanah dan belas mekar selari dengan suburnya pertumbuhan pohon tamadun itu sendiri.


Rancangan-rancangan menarik Kempen Haji 1444H di TV AlHijrah turut boleh dinikmati menerusi aplikasi peranti pintar stesen ini, AlHijrah Plus dengan lebih 6,000 program ilmu pendidikan serta hiburan berlandaskan Islam yang dapat ditonton bila-bila masa dan di mana sahaja.

bottom of page