UNKNOWN Semakin Dikenali, Harap Kejayaan Berulang Untuk Single Kedua - 'Tersakiti'
top of page
  • Writer's pictureMYB

UNKNOWN Semakin Dikenali, Harap Kejayaan Berulang Untuk Single Kedua - 'Tersakiti'

Buat julung-julung kalinya Ace Talents dengan kerjasama dinamiknya bersama Universal Music Malaysia, bergabung tenaga bagi memperkenalkan single kedua boyband Malaysia yang kian popular, UNKNOWN, berjudul ‘Tersakiti’.



UNKNOWN yang dianggotai 5 anak muda berbakat besar terdiri daripada Momo, Haf, Zaq, Ameer dan Izmeer ditubuhkan melalui sesi ujibakat kelolaan Ace Talents yang telah melalui pelbagai proses latihan, usaha sama dan suai-kenal yang memakan masa berbulan lamanya sehinggalah terlahirnya single pertama mereka berjudul ‘Jangan Marah (Baby Sayang)’ yang melonjak viral di laman sosial TikTok dengan hampir 300 ribu tanda suka.


“Alhamdulillah, setelah penerimaan luar jangkaan daripada peminat terhadap single pertama kami berjudul Jangan Marah (Baby Sayang), UNKNOWN semakin dikenali terutamanya di laman sosial. Kini, kami ingin meneruskan kejayaan tersebut dengan single kedua berjudul Tersakiti.


“Lagu Tersakiti ini dicipta oleh saya sendiri bersama Haf, dan idea disebalik lagu ini diinspirasikan daripada lagu Korea yang menjadi kegilaan remaja masa kini. Ia menceritakan tentang kisah percintaan remaja yang banyak onak dan durinya.

"Tersakiti bermaksud memberi pesan buat mereka yang sedang merasa ‘sakit’ atau ‘pedih’ di dalam jiwa yang diolah bentuk menjadi sebuah lagu,” terang Momo.


Lagu yang berdurasi 3:51 minit dalam nuansa hip hop dengan elemen RNB ini dimulai dengan intro yang perlahan namun menggamit perasaan kemudiannya diselitkan dengan tutur kata rap oleh Haf yang penuh bertenaga, dan diwarnai dengan korusnya yang pasti membuai jiwa.


“Proses rakaman yang bertempat di Studio Platinum mengambil masa selama 1 hari saja, manakala 1 minggu lagi diperuntukkan untuk proses penambahbaikan serta mastering.


“Sewaktu proses rakaman sedang berlangsung, kami sekumpulan berpeluang bekerjasama dalam membentangkan idea dan pendapat masing-masing untuk mewarnai karya tersebut. Banyak yang kami pelajari selain dapat mengeratkan hubungan sesama kami secara kolektif,” kata Haf.


Video muzik (MV) yang bakal ditayangkan serentak telah melalui proses penggambaran di beberapa lokasi sekitar Putrajaya, Subang Jaya serta Shah Alam dengan menampilkan jalan cerita serta koreografi tarian yang menarik.


“Jalan cerita MV Tersakiti mengisahkan tentang seorang lelaki yang mempunyai kawan baik perempuan yang sedang mengalami tekanan dan kesedihan selepas ditinggalkan teman lelakinya.


"Lelaki tersebut berkali-kali memberi pesanan agar kawan baiknya itu agar tidak terus ditenggelami dalam kesedihan dan kesakitan yang dialami,” jelas Zaq.



Menurut Miss Azuein Alonto, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Ace Talents, “Saya percaya dengan bakat UNKNOWN, manakan tidak, single pertama mereka mendapat sambutan luar biasa dan menjadi viral di beberapa laman sosial.


“Saya berharap dengan terlancarnya single kedua berjudul Tersakiti ini dapat melonjakkan lagi nama UNKNOWN dan lebih dikenali ramai, mana tahu mungkin juga dapat menembusi pasaran Indonesia serta Asia Tenggara. " Miss Azuein Alonto, Ketua Pegawai Eksekutif Ace Talents


Walaupun baharu, UNKNOWN sudah pun berjaya menempa nama dan mendapat tempat di hati para pendengar, single pertama Jangan Marah (Baby Sayang) juga berjaya mendapat perhatian pendengar dari seberang kerana melodinya yang catchy.


“Kami masih lagi dalam fasa mencuba pelbagai genre dan sedang mencari ‘signature’ bunyi UNKWON, apa yang kami cuba tonjolkan adalah sesuatu yang segar, sedikit ‘gila-gila’ dan baru.


“Setiap daripada kami mempunyai watak yang berbeza, Momo seorang yang ‘genius’, Haf sentiasa dengan peribadinya yang ‘cool’, Zaq pula sangat berbakat, Izmeer ada sifat yang melankolik, dan saya pula suka membuat orang tertawa,” kongsi Ameer.


Perjalanan UNKNOWN masih lagi jauh, dan anak-anak muda ini sudah pun menunjukkan dedikasi dan minat yang mendalam dalam bidang muzik.


“Berilah kami peluang menonjolkan bakat dalam mewarnai industri muzik Malaysia sebagai pelapis generasi baru.


“Kami berharap agar ramai yang dapat menerima lagu Tersakiti, setiap komen positif mahupun negatif yang kami terima, sangat dihargai dalam mempertingkatkan mutu muzik yang kami persembahkan.


“Akhir sekali, buat sesiapa yang mendengar lagu Tersakiti, bukalah mata dan jiwa anda agar memahami situasi orang sekeliling yang sedang mengalami masalah jiwa, bukan saja dalam percintaan, tetapi dalam kehidupan seharian,” akhiri Izmeer.


Lagu Tersakiti boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Ace Talents.


bottom of page