Yamani Abdillah Dan Zaki Yamani Juara Famili Duo Musim Ke-2
top of page
  • Writer's pictureMYB

Yamani Abdillah Dan Zaki Yamani Juara Famili Duo Musim Ke-2

Program realiti nyanyian Famili Duo musim ke-2 yang bersiaran secara lansung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi menobatkan duo adik-beradik Yamani Abdillah dan Zaki Yamani sebagai juara program tersebut musim ini sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi Famili Duo.


Duo adik beradik Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang juga merupakan anak kepada Dato' Jamal Abdillah dinobatkan sebagai juara program Famili Duo musim ke-2

Dengan tema minggu finale , ‘Anugerah Juara Lagu' dan 'Bebas', Yamani Abdillah dan Zaki Yamani menyampaikan persembahan yang bertenaga dan konsisten menerusi medley Potret (Akim & The Majistret) dan Pelukan Angkasa (S.O.G) serta medley Hutang (Floor 88) dan Bunga serta Kau Pun Sama (Syamel) dalam dua persembahan yang turut mendapat pujian dari juri tetap Ajai dan Mas Idayu.


Posisi naib juara pula menjadi milik satu lagi duo adik-beradik Ayda dan Fyna yang turut dikenali dengan jolokan 'The Jebats'. Mereka berdua berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 25,000 sumbangan Elegant Cosmetics berserta trofi. Ayda dan Fyna menyampaikan medley Gemilang (Jaclyn Victor) dan Pada Syurga Diwajahmu (Nash) serta medley Let’s Get Loud (Jennifer Lopez) dan Gangnam Style (Psy)


Sementara itu, duo sepupu, Bella Astillah dan Wani Kayrie pula berjaya mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 15,000 sumbangan Elegant Cosmetics berserta trofi. Bella Astillah dan Wani Kayrie menyampaikan medley Gila (Kaka Azraff, Loca B & Noki) dan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain) serta lagu Let It Go (Idina Menzel).


Duo Ayda Jebat dan Fyna Jebat, Bella Astillah dan Wani Kayrie serta Sissy Imann dan Naim Daniel, masing-masing di tempat kedua, ketiga dan keempat.

 

Manakala satu lagi duo sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel pula hanya mampu berpuas hati di tempat keempat. Sissy Imann dan Naim Daniel berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 10,000 sumbangan Elegant Cosmetics berserta trofi.


Persembahan minggu akhir Famili Duo musim ke-2 diadili sepenuhnya oleh dua juri profesional iaitu Ajai dan Mas Idayu selaku juri tetap serta dihoskan oleh pasangan selebriti Sean Lee dan Janna Nick.


Program realiti Famili Duo telah bersiaran selama lapan minggu dengan menampilkan duo peserta yang terdiri dari selebriti popular bersama pasangannya yang terdiri dari ahli keluarga mereka sendiri.


Tiga duo peserta yang telah tersingkir pada minggu separuh akhir ialah Siti Sairah dan Siti Saida, Sabhi Saddi dan FareedPF K-Clique serta Ara Johari & Shaffiq Erwin.


0 comments
bottom of page