Dalam satu majlis yang penuh bermakna di Grand Ballroom, Pullman Kuala Lumpur City Centre semalam, Yayasan PEKEMA telah menghulurkan sumbangan berjumlah RM150,000 kepada 30 seniman veteran tanah air yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Dato' Freddie Fernandez berkata, sumbangan sebanyak RM5,000 bagi setiap penerima ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam industri seni tempatan.
"Artis-artis veteran ini adalah warisan seni yang telah menghiburkan kita semua melalui karya-karya yang tidak ternilai harganya. Kini, setelah mereka memberikan segalanya, sudah tiba masanya bagi kita untuk membalas jasa mereka," kata Dato' Freddie.
Antara penerima sumbangan termasuk penyanyi legenda Zaiton Sameon yang kini menghadapi masalah kesihatan akibat kecederaan otak, penyanyi rock terkenal Ali XPDC yang pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan strok dan jantung, serta pelakon veteran Mak Jah yang sedang bergelut dengan kanser rahim.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan PEKEMA termasuk Presiden PEKEMA, Datuk Haji Mohamed Nazari Noordin, Penasihat PEKEMA, Dato Haji Zainuddin Abd Rahman, dan Timbalan Presiden PEKEMA, Dato Haji Wan Sazrudeen Wan Zaid.
Dalam perkembangan yang mengharukan, dua daripada penerima sumbangan tidak sempat menerima bantuan tersebut. Komposer terkenal Datuk S. Atan telah meninggal dunia beberapa hari sebelum majlis, manakala isteri kepada pelakon veteran Harun Hashim, Sakinah, yang menghidap kanser payudara tahap empat, juga telah pergi mendahului.
Senarai penerima termasuk nama-nama besar seperti Mariam Ahmad yang dikenali sebagai "Ratu Keroncong Malindo", Sheqal yang pernah menggegar industri muzik pada era 90-an, dan Sazali P. Ramlee, pewaris legenda P. Ramlee yang kini menghadapi komplikasi diabetes.
Inisiatif murni ini adalah hasil usaha Isma Azad dari PANCA ABADI Automobil, yang merupakan ahli aktif PEKEMA dan juga Exco Karyawan Pulau Pinang, yang telah memperkenalkan keperluan para seniman veteran ini kepada pihak Yayasan PEKEMA.
Comments