top of page
  • Writer's pictureMYB

YKAT Salur Bantuan RM15 Ribu Kepada Barisan Artis Veteran Sempena Sambutan Tahun Baru Cina

Majlis penyampaian bantuan sumbangan kepada artis-artis tanahair yang berumur 60 tahun dan ke atas bersempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi menjadi aktiviti pembuka tirai buat Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bagi tahun 2022 ini.



Mereka terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pemuzik dari semua bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.


Menurut Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave “Seperti tahun lepas sumbangan kali ini juga kami lakukan dengan “bank in’” secara terus ke akaun mereka.


"Kami masih mengelakkan untuk membuat majlis sambutan kerana faktor pandemik Covid-19 menjadikan agar kami lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan kerana itu adalah lebih penting. Namun, sumbangan tetap diberikan.


“Bahkan, tidak seperti sebelum ini di mana tahun-tahun lepas YKAT menggabungkan penerima sumbangan Hari Natal dan Tahun Baru Cina. Tetapi, kali ini kami memberi secara berasingan kerana kami yakin mereka memerlukan kos lebih bagi persiapan dan persediaan setiap perayaan tersebut.” jelas Datuk DJ Dave.


Sehubungan itu, pihak YKAT sepakat untuk menyalurkan sumbangan kepada 15 orang artis yang layak ini melalui sistem perbankan. Keseluruhan sumbangan berjumlah RM15,000.00 diperuntukkan kepada 15 orang artis tanahair.


Setiap daripada mereka akan menerima RM 1,000.00 termasuk percuma keahlian Program Khairat YKAT berjumlah RM100.00 bagi mereka yang layak. Ini bermakna, 3 orang dari mereka menerima sumbangan berjumlah RM1,000.00 manakala 12 orang menerima RM900.00 beserta RM100.00 keahlian program khairat.


Sumbangan ini adalah daripada dana yang diperolehi oleh kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012. Dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pihak pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni juga membantu dalam kebajikan artis-artis tanahair.


Pengurusan YKAT yang dianggotai oleh 8 orang pemegang Amanah iaitu Datuk DJ Dave, Dato' M Nasir, Dato' Nash, Datuk Yusof Haslam, Dato' Nancie Foo, Maj Gen Dato' Hj Khairudin, Dr. Kanagarajan dan Encik Colin Edmonds.


Antara artis-artis yang menerima sumbangan adalah Tan Ai Lin, Ibnor Riza, Gan Chu Lan, Turairaj, Wan Zul dan beberapa penerima lagi.


Bagi YKAT, sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah lama berada di industri seni tanahair dan diharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka.


Menurut Dato’ Nash yang juga pemegang amanah YKAT, “Kami di YKAT faham akan situasi pandemik yang dialami oleh negara kita kini. Meskipun ianya sedikit sebanyak memberi kesan kepada penggiat seni lebih-lebih lagi dalam usaha mencari pendapatan, kami akur akan ketetapan ini kerana ianya dirasai oleh semua golongan. Justeru, pihak YKAT akan tetap meneruskan usaha kami untuk menjaga kebajikan para artis.”


Tambahan pula, pihak YKAT telah merangka beberapa aktiviti bagi tahun 2022 ini bersempena 10 tahun YKAT ditubuhkan.


Comments


bottom of page