61 JUTA UNDI PECAH REKOD! ABPBH 37 Kini Hanya Tinggal Top 10, Undian Akhir Bermula
- MYB
- 7 minit lalu
- 2 min membaca
Suara Peminat Cetus Sejarah, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Umum Calon Akhir
KUALA LUMPUR – Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, yang mengangkat tema 'SATU Keunggulan', hari ini mencipta rekod baharu apabila fasa pertama undian mencatatkan angka luar biasa, iaitu lebih 61.79 juta undi. Angka terkumpul ini direkodkan dalam tempoh hanya 21 hari sejak dilancarkan pada 25 September lalu.

Dalam satu kejutan baharu yang memanaskan persaingan, penganjur ABPBH 37 secara rasmi mengumumkan senarai calon Top 10 bagi 16 Kategori Utama dan kategori sampingan, Ekstra!. Langkah ini adalah yang pertama kali dalam sejarah penganjuran ABPBH, di mana penganjur 'memintas' proses Top 20 dan terus melancarkan kelompok Top 10 sebagai calon akhir.
Pengurangan jumlah calon di peringkat akhir ini dilihat sebagai strategi bagi meningkatkan potensi setiap bintang untuk merangkul gelaran utama. Pengarah ABPBH 37, Shamshul Azree Samshir, menyatakan bahawa langkah memperkenalkan calon Top 10 ini bertujuan untuk 'menambah kehangatan pencarian pemenang' dalam setiap kategori.
Persaingan di peringkat Top 10 pada edisi kali ini diserikan dengan kemunculan gabungan nama-nama besar dan bintang baharu yang mencipta fenomena. Dalam kategori utama Penyanyi Wanita Popular, misalnya, pertarungan vokal dijangka sengit apabila penyanyi-penyanyi hebat seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Bella Astillah, dan Stacy berjaya menempatkan diri sebagai calon akhir.
Tidak kurang hebat, kategori lakonan pula menyaksikan bintang-bintang popular terus mendominasi. Bagi kategori Aktor Filem Popular, nama-nama yang menjadi pilihan peminat seperti Meerqeen, Zul Ariffin, dan Beto Kusyairy sekali lagi mempertahankan kedudukan mereka dalam kelompok elit ini. Sementara itu, kategori Aktres TV Popular pula dibarisi oleh selebriti yang mencetus fenomena menerusi drama-drama popular, termasuk Anna Jobling, Mira Filzah, dan Tracie Sinidol.
Menariknya, kekuatan sokongan peminat platform digital terserlah dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular. Pempengaruh dan pelakon muda seperti Aizat Saha dan Najmi Niery telah berjaya menembusi senarai Top 10, membuktikan bahawa populariti di media sosial kini menjadi penentu utama dalam anugerah berprestij ini.
Selain 16 Kategori Utama (termasuk Penyanyi, Pelakon, Pengacara, Penyampai Radio, dan Artis Komedi Popular), turut dipertandingkan adalah lima (5) kategori Ekstra! seperti Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, dan Artis Kontroversi Popular.
Pemenang akan ditentukan berdasarkan 70% undian peminat dan 30% penilaian juri profesional, menjadikan setiap undi amat bermakna dalam menentukan juara sebenar. Fasa undian untuk calon Top 10 ini telah dilancarkan secara rasmi tepat jam 10.00 malam tadi, 16 Oktober 2025, dan akan dibuka sehingga 11.59 malam, 17 November 2025.
Peminat boleh terus mengundi selebriti kegemaran mereka secara percuma melalui laman web rasmi ABPBH di www.abpbh.com.my. Undian kali ini bakal menentukan siapakah yang paling unggul dan akan membawa pulang trofi idaman sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 37.