Ayu Damit Akui Pernah Depresi Akibat ‘Body Shaming’, Kini Bangkit Dibantu 'Dr. Healing'
- MYB
- 5 hari lalu
- 1 min membaca

SETIA ALAM – Di sebalik kelantangan vokal di pentas, penyanyi versatil Ayu Damit memendam penderitaan selama hampir dua dekad akibat kecaman netizen terhadap rupa parasnya. Pelantun lagu 'Hanya Di Mercu' itu akhirnya membuka mulut baru-baru ini berkongsi mengenai pergelutannya melawan kemurungan setelah sekian lama dilabel sebagai penyanyi berimej kampung dan tidak cantik.
Sepanjang 18 tahun bergelar anak seni, Ayu mengakui keyakinan dirinya sering dirobek oleh kata-kata nista yang bukan sahaja memperlekehkan fizikalnya, malah ada yang tergamak meramalkan beliau tidak mempunyai masa depan dalam industri hiburan kerana tidak menepati standard kecantikan komersial.
"Bila orang kata wajah saya kampung, tak cantik, tak sesuai jadi penyanyi... lama kelamaan ia masuk ke dalam kepala. Dari situ saya mula alami kemurungan," luah Ayu dengan nada sebak.

Lebih menyedihkan, usaha Ayu untuk memperbaiki penampilan sering disalahertikan. Apabila beliau cuba tampil lebih bergaya, beliau dituduh ‘berlebih-lebihan’ atau seksi, malah kritikan tersebut turut menyeret maruah keluarganya. Ayu mendedahkan ada pihak yang menuduh suaminya tidak pandai mendidik isteri, selain gaya tudungnya pernah dihina seperti "pembalut nangka".
Bagaimanapun, Ayu kini menemui sinar baharu selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada Dr. Hisham Dzakiria, seorang pakar yang kini digelar sebagai ‘Dr. Healing’. Pertemuan tersebut menjadi titik tolak buat Ayu untuk menyusun semula emosinya dan berdamai dengan takdir.

Dr. Hisham, ketika ditemui pada majlis perasmian Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria di Setia Alam, menegaskan pentingnya seseorang itu mengawal reaksi terhadap anasir luar. Beliau menasihati Ayu agar tidak melayan suara-suara negatif yang boleh menyebabkan seseorang hilang fokus dan jati diri.
Pusat terapi yang baru dilancarkan ini bertujuan menyediakan akses kesihatan mental yang lebih mudah kepada masyarakat serta menghapuskan stigma bahawa mendapatkan rawatan emosi adalah satu tanda kelemahan.





