D'Recond Band & Eddie Hamid Pertaruh 'Rock Kapak' Menerusi "Kemarau Di Hujung Rindu"
- MYB
- 2 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan kolaborasi pertama mereka menerusi lagu loghat Kelantan "Demo Tok Jujur" pada April tahun lalu, kumpulan muzik D'Recond Band sekali lagi bergabung tenaga dengan komposer tersohor, Eddie Hamid, untuk buah tangan terbaharu mereka berjudul "Kemarau Di Hujung Rindu".

Berbeza dengan pendekatan terdahulu, kali ini D'Recond yang dibarisi oleh Farid (vokalis), Izzue (gitar utama), Azrar (gitar kedua), Ayie (bes), Mael (dram), dan Zafuan (keyboard) memilih untuk mengangkat genre 'Rock Kapak' yang cukup sinonim dengan era kegemilangan muzik 90-an.
Menurut pemain gitar utamanya, Izzue atau nama sebenarnya Zurita Mat Suta, peralihan kepada irama rock kapak ini bukanlah sesuatu yang asing, malah ia merupakan identiti sebenar kumpulan tersebut yang telah bertapak dalam industri sejak 2008.
"Irama rock kapak adalah sebahagian daripada identiti D’Recond. Kami membesar dengan muzik era 90-an, dan genre ini masih relevan kerana kejujuran emosi serta kekuatan melodinya," jelas Izzue, yang turut terlibat sama dalam penciptaan lagu ini bersama Eddie Hamid.

Keserasian antara D'Recond dan Eddie Hamid disifatkan Izzue sebagai hubungan mentor dan anak didik yang sangat semula jadi. Proses penghasilan lagu ini berlaku secara organik di mana Eddie menyumbangkan idea asas melodi, manakala Izzue memperkemaskan struktur serta emosi lagu tersebut.
Eddie Hamid sendiri mengakui pemilihan genre rock 90-an ini dibuat kerana keyakinannya terhadap kemampuan vokalis kumpulan itu, Farid, yang memiliki nada suara yang sangat sesuai untuk membawakan lagu-lagu bernada tinggi dan beremosi.
"Kemarau Di Hujung Rindu" bukan sekadar lagu putus cinta biasa. Dengan lirik yang digarap oleh gabungan empat penulis iaitu Bahron ZM, Hakim Hakimi, Maju, dan Rumie, karya ini menyelami perasaan rindu yang tidak kesampaian dan peritnya kehilangan.
"Sesuai dengan kasih kehilangan sebagai contoh, kehilangan kekasih, seorang ibu kehilangan anaknya, suami kehilangan isteri, anak kehilangan ibu bapa. Itulah yang membuatkan kami sebulat suara memilih lagu ini," tambah Izzue lagi.
Lagu terbitan dan edaran Aries Music ini telah mula menemui peminat di platform YouTube sejak 25 Januari 2026 dan kini boleh didengar di semua platform penstriman digital.









Komen