top of page

“BADAK” Tampilkan Kisah Kasih Sayang, Muzik & Impian dalam Drama Keluarga Penuh Emosi

  • Writer: MYB
    MYB
  • 24 Sep
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR — Filem tempatan yang dinanti-nantikan tahun ini, BADAK, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 Oktober 2025. Malam gala dan sidang media filem tersebut telah berlangsung meriah di GSC Mid Valley Megamall, dihadiri oleh barisan pelakon utama dan pengarah filem.


“BADAK” Tampilkan Kisah Kasih Sayang, Muzik & Impian dalam Drama Keluarga Penuh Emosi
Selain Shaheizy Sam dan Aida Amron, BADAK turut menampilkan lakonan hebat Wan Hanafi Su dan Hon Kahoe serta runut bunyi asal (OST) nyanyian Joe Flizzow

Filem ini dipersembahkan oleh Clover Films Pte Ltd, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, dan Papahan Films, dengan kerjasama Sinemart, Juita Viden, One Tree, Act 2 Pictures, dan Dropkick, serta sokongan daripada Singapore Film Commission.


Diarahkan oleh pengarah prolifik M. Raihan Halim, filem ini mengangkat tema kasih sayang, muzik dan impian sebagai jambatan antara generasi, menjadikannya sebuah naskhah yang menyentuh hati dan relevan dengan jiwa penonton masa kini.



Selain Shaheizy Sam dan Aida Amron, filem ini turut dibintangi oleh Wan Hanafi Su sebagai Abah dan Hon Kahoe sebagai Jay, serta menampilkan sinematografi yang kuat dan runut bunyi segar yang memadukan elemen hip-hop dengan emosi kekeluargaan.


BADAK mengisahkan seorang bapa tunggal pekak bernama Badak, lakonan mantap oleh Shaheizy Sam, yang membesarkan anak perempuannya Mira (lakonan Aida Amron) dengan penuh kasih dan pengorbanan. Hidup mereka sederhana, berlatarkan gerai burger kecil sebagai sumber rezeki, namun segalanya berubah apabila Mira mula mencipta nama sebagai bintang hip-hop. Dunia muzik yang lantang mula menguji hubungan mereka, dan Badak bergelut untuk memahami anaknya yang semakin jauh.


“BADAK” Tampilkan Kisah Kasih Sayang, Muzik & Impian dalam Drama Keluarga Penuh Emosi
Malam gala filem BADAK telah berlangsung meriah di GSC Mid Valley Megamall, dihadiri ramai peminat filem tempatan

Dengan durasi 93 minit dan klasifikasi P13, BADAK bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah kisah inspirasi tentang kekuatan cinta seorang ayah, perjuangan dalam keluarga dan harapan yang merentasi batas komunikasi.


Menariknya, sebagai sebahagian daripada kempen promosi, BADAK akan menjelajah sekitar Lembah Klang melalui trak LED BADAK, menawarkan burger percuma dengan kerjasama Ahmad Fried Chicken dan sokongan radio rasmi Hot FM, Fly FM dan Kool 101. Barisan pelakon juga akan turun padang untuk bertemu peminat secara langsung.



Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan BADAK di pawagam seluruh negara mulai 2 Oktober 2025. Untuk maklumat lanjut dan bahan promosi, layari media sosial rasmi GSC Movies dan gunakan hashtag #BADAK.



Komen


bottom of page