• MYB

Barisan Selebriti Meriahkan Hari Usahawan Negara 2022

Seramai 25 selebriti popular tanah air memeriahkan Hari Usahawan Negara 2022 (HUN 2022) yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).


Antara selebriti yang terlibat adalah Azlan Typewriter, Saharul Ridzwan, Azza Elite, Ayu Damit, Lan Solo, Zoey Rahman, Sabhi Saddi, Balkisyh Sumundur Khan, Syed Ali, Eida Moin, Edy Moin, Laila Nasir, Tash Yong, Qazem Nor, Azan Scan GV8, Siti Fazurina, Amai Kamarudin, Sefik, Azura Aziz, Jasmine Ashraff, Rashid Jaafar, Mahmud Ali Basha dan ramai lagi.


Barisan selebriti tanah air yang menyertai HUN 2022 bersama Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Dato’ Sri Abu Hasan Mohd Nor

Kehadiran mereka menceriakan suasana, selain turut serta dalam aktiviti penjualan produk masing-masing menerusi lot pameran yang disediakan, mereka juga mengadakan persembahan dan mengadakan sesi ramah mesra bersama peminat yang mengunjungi HUN 2022.


Menurut Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Dato’ Sri Abu Hasan Mohd Nor selaku penganjur acara HUN 2022 yang julung kali diadakan itu, sebanyak 1000 lot pameran disediakan secara keseluruhannya di HUN 2022 dengan 500 lot untuk agensi kerajaan, korporat serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), 100 lot mobile truck, 100 lot carboot, 120 usahawan Cina, lot-lot serambi dari Indonesia, lot koperasi dan 100 lot makanan.


Tidak ketinggalan 25 lot pameran khas buat selebriti tempatan turut disediakan sebagai tanda sokongan kepada selebriti kebanyakan kini sudah mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan.


“HUN 2022 ini diadakan sebagai pemangkin ekonomi negara yang mana sebelum ini kebanyakan usahawan terjejas kerana pendemik Covid-19. Saya memanggil artis untuk turut serta supaya mereka boleh menarik pengunjung untuk hadir ke acara ini.


“Selain itu, mereka juga seorang usahawan dan DPUKM sentiasa serta bersedia memberi bantuan seperti menyalurkan informasi serta membimbing mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya,” ujar Abu Hasan.



Dalam pada itu, Abu Hasan menjelaskan, HUN 2022 dianjurkan sendiri oleh DPUKM tanpa bantuan dana daripada mana-mana pihak. Namun, impiannya untuk melihat HUN 2022 menjadi sebuah acara tahunan dan satu jenama besar membuat beliau tekad meneruskan acara tersebut meskipun terdapat pelbagai kekangan.


“Kami tidak mendapat bantuan dana daripada mana-mana pihak, ditambah dengan pandemik yang menganggu perancangan asal kami. Ikutkan kami akan membawa usahawan dari luar negara seperti China dan negara Timur Tengah acara ini.


“Usahawan tempatan sebenarnya sudah jauh ketinggalan. Jika di luar negara, mereka hanya perlukan seorang pekerja untuk operasi mesin berbanding kita yang kebanyakannya masih melakukan pembuatan makanan secara manual.


“Menggunakan teknologi dan mesin, mereka boleh menghantar produk satu kontena dengan mudah. Malah, usahawan kita tidak ramai yang memiliki kilang sendiri. Saya berharap pada masa depan usahawan tempatan lebih berdikari dan tidak perlu sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan untuk maju,”kata Abu Hasan pada majlis sidang media semalam.


Besar harapan Abu Hasan selaku penganjur untuk orang ramai sedar tentang keistimewaan HUN 2022 yang julung kali diadakan itu. Selain lot-lot pameran jualan terdapat banyak informasi yang memberi faedah buat usahawan dan bakal usahawan.


“Mungkin orang di luar sana menganggap HUN 2022 adalah acara biasa walhal terdapat banyak input berguna seperti TEKUN yang boleh memberi pinjaman mudah sehingga RM10,000 untuk usahawan dan MARA yang boleh beri pinjaman sehingga RM500,00.


“Turut diadakan pelbagai program antaranya, taklimat daripada pelbagai agensi termasuk FAMA, Agrobazaar Online, Akademi Jana Usahawan, taklimat mengenai kerjaya, klinik keusahawanan (latihan dan mentor), simposium ekonomi dan keusahawanan, biz forum (peluang pembiayaan bersama Tekun Nasional) dan pocket talk (wawancara ikon usahawan secara langsung,” kongsi Abu Hasan.


Acara kemuncak HUN 2022 adalah makan malam gala yang diadakan pada 28 Mac bersempena dengan majlis anugerah untuk golongan usahawan. Anugerah tersebut akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob bersama presiden DPUKM, Dato' Sri Abu Hasan Mohd Nor melawat lot pameran di Hari Usahawan Negara yang berlangsung dari 24 sehingga 28 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Lebih menggembirakan, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju untuk Hari Usahawan Negara dijadikan acara tahunan. Perkara tersebut diumumkan beliau pada majlis perasmian HUN 2022 yang berlangsung semalam (26 Mac) di WTCKL.


Sementara itu, penyanyi Lan Solo yang kini bergelar usahawan menerusi perniagaan Solo Borneo Mart menyambut baik penganjuran HUN 2022.


“Sebagai usahawan saya menyokong usaha yang dilakukan oleh DPUKM dan saya begitu teruja dapat terlibat dalam HUN 2022. Sebelum ini saya telah menjual pelbagai produk, tetapi tidak berjaya.


“Alhamdulilah, Solo Borneo Mart yang bermula secara suka-suka akhirnya menjadi perniagaan yang semakin berkembang,” ujar Lan.


Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi HUN'22 di www.hariusahawannegara.com.my

0 comments