top of page
  • Writer's pictureMYB

Caring Pharmacy Sumbang 10,000 Kotak Pelitup Muka Sempena Ulangtahun ke 10,000 Hari

Caring Pharmacy menyambut ulangtahun 10,000 harinya dengan menyumbangkan 10,000 kotak (500,000 unit) Pelitup Separuh Muka Perubatan Premium NEUTROVIS kepada 10 buah organisasi terpilih.



Majlis penyerahan sumbangan tersebut dihadiri oleh Y.A.M Tengku Datin Paduka Setia Zatashah, anakanda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, ditemani oleh Penolong Pesuruhjaya (PA) Abdul Wahab bin Haji Rahim, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana & Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari Pejabat Perdana Menteri.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil-wakil dari Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Persekutuan Rantaian Runcit dan Francais ASEAN (ARFF) dan Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd.


Sambutan 10,000 hari ini melambangkan 27 tahun penubuhan Caring Pharmacy sejak September 1994 di Taman Muda, Cheras. Caring Pharmacy ditubuhkan oleh 5 orang ahli farmasi bertujuan menyediakan kemudahan barang-barang penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik untuk para pengguna.


Setelah 27 tahun beroperasi, Caring Pharmacy telah berkembang kepada 158 buah cawangan di seluruh negara, termasuk di kompleks membeli-belah terkemuka. Kini, mereka memperluaskan perniagaan mereka melalui program-program kesetiaan, melancarkan aplikasi mudah alih Caring, pengambilalihan 36 buah cawangan Georgetown Pharmacy dan Wellings Pharmacy, serta menembusi pasaran Asia Tenggara.


Y.A.M Tengku Datin Paduka Setia Zatashah berkata, “Jenama tempatan seperti Caring Pharmacy menjadi kebanggaan kita melalui usaha mereka di dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan ikhlas mereka, setiap usaha diambil kira, dan setiap tindakan ada impaknya. Bersama-sama kita mampu melakukannya," jelasnya.


Sedang negara berada di fasa pemulihan akibat pandemik dan bencana alam, jenama tempatan – Caring Pharmacy dan NUETROVIS bekerjasama dengan 10 buah organisasi untuk melindungi mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki pelitup separuh muka gred perubatan yang bersesuaian.


Pelitup separuh muka yang disumbangkan ini akan digunakan oleh para anggota dan sukarelawan dalam operasi seharian mereka, dan juga akan diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik, terutama kepada mangsa banjir yang terkesan sejak dua bulan lepas.


Caring Pharmacy
Barisan 10 organisasi terpilih yang menerima sumbangan pelitup muka premium NEUTROVIS adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kechara Soup Kitchen, Yayasan OrphanCare, Kelab Rotary Puchong, Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia, The Giving Bank, Yayasan Food Bank Malaysia, Uncle Kentang, World Vision Malaysia, dan Worldwide Wellness Club.

Menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang semakin hampir, selebriti tempatan popular, Nadia Brian dan Tong Bing Yu turut menyertai sambutan ini dengan menggunakan pengaruh mereka untuk memberi kesedaran tentang kepentingan penggunaan pelitup separuh muka gred perubatan yang efektif untuk melawan COVID-19, dan mengingatkan semua orang supaya sentiasa mematuhi SOP untuk melindungi orang tersayang dalam menyambut kehadiran Tahun Harimau.


Dalam majlis ini, Nadia Brian dan Tong Bing Yu dilihat mengagihkan Pelitup Separuh Muka Perubatan Premium NEUTROVIS kepada orang awam di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur.


Pengarah Urusan Caring Pharmacy, Chong Yeow Siang berkata, “Ianya memberikan kebanggaan kepada saya untuk merayakan sambutan 10,000 hari ini dengan menyumbang kembali kepada masyarakat melalui 10 buah persatuan tersebut.


"Ianya merupakan pencapaian bersejarah dan amat bermakna buat kami, untuk membantu orang awam dalam urusan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Seperti nama kami, kami amat prihatin terhadap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.


"Sebagai rangkaian farmasi terbesar tempatan, kami akan terus berkhidmat menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang paling relevan semasa dan selepas pandemik ini," jelasnya.


Bersempena dengan sambutan ulangtahun 10,000 hari, Caring Pharmacy akan memberi 1000 mata ganjaran tambahan kepada 10,000 orang ahli terawal yang berbelanja sebanyak RM100 ke atas di cawangan Caring Pharmacy. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari https://caring2u.com/.



0 comments
bottom of page