‘Coolie’ Gegar Pawagam Malaysia, Raikan 50 Tahun Rajinikanth dalam Industri Filem
- MYB
- 18 Ogo
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR - Dunia hiburan India kembali menggegarkan layar perak di Malaysia dengan tayangan rasmi filem aksi thriller Tamil terbaru, “Coolie”, yang mula menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 14 Ogos 2025. Filem epik ini bukan sahaja menjanjikan aksi mendebarkan, malah membawa makna istimewa kerana ia meraikan 50 tahun perjalanan seni legenda Superstar Padma Bhushan Rajinikanth dalam industri perfileman.

Diarahkan oleh pengarah tersohor Lokesh Kanagaraj dan diterbitkan oleh Kalanithi Maran, “Coolie” menampilkan barisan pelakon hebat seperti Rajinikanth, Nagarjuna, Soubin Shahir, Upendra, Shruti Haasan, Sathyaraj dan juga bintang Bollywood Aamir Khan. Gabungan tenaga besar ini menjadikan “Coolie” sebagai salah satu filem paling dinanti-nantikan tahun 2025.
Lebih istimewa, filem ini diedarkan secara rasmi di Malaysia oleh Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., syarikat hiburan tempatan yang sudah lama sinonim sebagai penghubung industri filem antarabangsa, khususnya Bollywood dan Kollywood, kepada peminat di Malaysia.
“Coolie” mencipta sejarah dengan rekod kutipan tayangan hari pertama tertinggi di pawagam Tamil di seluruh dunia, sekaligus mengukuhkan lagi aura Rajinikanth sebagai figura paling berpengaruh dalam sinema India.
Menurut kenyataan Malik Streams, filem ini adalah “tontonan aksi berskala besar, sarat dengan karisma, jiwa dan aksi mendebarkan”, seiring dengan status Rajinikanth yang terus relevan dan digemari merentasi generasi.
Selain hiburan, Dato’ Malik, pengasas Malik Streams turut dikenali sebagai tokoh korporat berjaya yang terlibat dalam pelbagai bidang termasuk hartanah, hotel, pertukaran mata wang, emas, dan juga kerja-kerja kebajikan. Dengan pengaruhnya, beliau memastikan peminat filem Tamil di Malaysia tidak pernah ketinggalan menikmati karya-karya besar dari India.
Bagi peminat setia Rajinikanth, “Coolie” bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah perayaan seni, aksi dan dedikasi seorang lagenda yang sudah mengabdikan setengah abad hidupnya untuk layar perak.















Komen