top of page

Craig David Gegarkan KL November Ini: TS5 Bakal Hidupkan Nostalgia & Rentak Baharu

  • Writer: MYB
    MYB
  • 10 Ogo
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR — Legenda muzik R&B dan UK Garage, Craig David, bakal kembali ke pentas Malaysia selepas lebih sedekad menyepi dengan konsert eksklusif bertajuk “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” yang akan berlangsung pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.


Craig David Gegarkan KL November Ini: TS5 Bakal Hidupkan Nostalgia & Rentak Baharu

Kembalinya Craig David ke Malaysia bukan sahaja mengubat rindu peminat setia sejak era awal 2000-an, tetapi turut bertepatan dengan pelancaran album studio ke-9 beliau, “Commitment”, yang telah menemui peminat pada 8 Ogos 2025.


Album ini digambarkan sebagai karya paling peribadi Craig setakat ini, dengan tema kesetiaan dan evolusi seni, serta menampilkan kolaborasi bersama bintang antarabangsa seperti Tiwa Savage, JoJo, dan Louisa Johnson.


Konsert ini akan mengetengahkan konsep unik TS5 — gabungan vokal langsung dan set DJ yang telah menjadikan Craig David fenomena global sejak 2012. Bermula sebagai siaran radio dari apartmennya di Miami, TS5 kini telah menjelajah pentas-pentas berprestij di Ibiza, Dubai, London, dan Tokyo, dan buat pertama kalinya, akan dipersembahkan secara langsung di Malaysia.


Craig David Gegarkan KL November Ini: TS5 Bakal Hidupkan Nostalgia & Rentak Baharu

Peminat boleh menjangkakan malam penuh bertenaga dan nostalgia dengan himpunan lagu-lagu hit seperti Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava, dan When The Bassline Drops.


Craig David mula mencuri perhatian dunia melalui kolaborasi dengan Artful Dodger dalam lagu ReRewind, sebelum melonjak sebagai artis solo termuda yang menduduki carta teratas UK dengan Fill Me In. Album sulungnya, Born To Do It (2000), terjual lebih 7 juta unit dan diiktiraf sebagai antara album terbaik sepanjang zaman oleh MTV dan The Guardian.



Dengan lebih 13 juta album terjual, pelbagai anugerah berprestij termasuk MBE daripada Ratu Elizabeth II, Craig David kini bersedia untuk mencipta satu lagi detik bersejarah bersama peminat Malaysia.


Tiket akan mula dijual bermula 12 Ogos 2025. Peminat disarankan untuk mengikuti pengumuman rasmi bagi mendapatkan tempat ke konsert yang dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini.



Komen


bottom of page