top of page

Dari Impian ke Realiti, Ariel Fesol Juara Big Stage Alpha 2025

  • Writer: MYB
    MYB
  • 16 Jun
  • 2 min membaca

SHAH ALAM - Setelah 16 tahun mencuba nasib dalam dunia seni suara, Ariel Fesol akhirnya berjaya menakluk pentas Big Stage Alpha apabila diumumkan sebagai juara edisi sulung program realiti tersebut yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam malam tadi.

Dari Impian ke Realiti, Ariel Fesol Juara Big Stage Alpha 2025

Penyanyi berusia 27 tahun itu tidak dapat menahan sebak sejurus diumumkan sebagai pemenang, membawa pulang wang tunai RM30,000 dan trofi kemenangan. “Saya tunggu momen ini selama 16 tahun. Macam-macam pertandingan saya sertai, tapi tak pernah jadi. Malam ini, saya akhirnya berjaya,” luah Ariel penuh emosi.

Kemenangan Ariel bukan sahaja menobatkannya sebagai juara, malah membuka laluan untuk debut bersama enam lagi finalis sebagai kumpulan lelaki baharu yang dinamakan Alpha. Mereka turut melancarkan single sulung berjudul 'Monalisa' sebagai penutup konsert akhir yang penuh warna-warni.

Naib juara menjadi milik Ray-D yang membawa pulang RM20,000, manakala tempat ketiga disandang Rizal Rasid dengan hadiah RM10,000. Tempat keempat hingga ketujuh pula dimenangi oleh Daniel Sher, Araff, Izat Ibrahim dan Afiq Sky, masing-masing menerima RM5,000 dan trofi.

Dari Impian ke Realiti, Ariel Fesol Juara Big Stage Alpha 2025

Menambah kemeriahan malam finale, Daniel turut menerima Anugerah Ikon Perfume Paradise Grand Finale atas persembahan paling menyerlah. Persembahan berkumpulan turut mencuri tumpuan apabila dua pasukan, Alpha Prime dan Alpha Ultra, mempersembahkan lagu Hands Up (2PM) dan Run (BTS) dengan penuh bertenaga.

Program Big Stage Alpha yang dikendalikan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose ini merupakan edisi khas pertama yang menampilkan kesemua peserta lelaki dalam misi membentuk kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Astro. Barisan juri tetap terdiri daripada Hael Husaini, Edry Abdul Halim dan Datuk Syafinaz Selamat, manakala Marsha Milan hadir sebagai juri jemputan.

Kumpulan Alpha dijangka akan membuat kemunculan istimewa dalam konsert Hael Husaini & Repertoire yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini, yang dianggap satu lagi langkah besar dalam perjalanan seni mereka yang baru bermula.


Commentaires


bottom of page