DPUKM Bakal Anjur Hari Usahawan Negara (HUN) 2022
top of page
  • Writer's pictureMYB

DPUKM Bakal Anjur Hari Usahawan Negara (HUN) 2022

Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) buat julung kalinya akan menganjurkan Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), selama lima hari bermula 24 hingga 28 Mac ini.


HUN 2022
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar diiringi Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor sewaktu majlis perasmian HUN 2022, di WTCKL semalam

Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkata, acara yang pertama kali diadakan di tanah air itu bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


"Saya berharap HUN 2022 akan ditakwimkan sebagai acara tahunan di Malaysia. Hal ini kerana, masih belum ada satu hari khusus untuk meraikan usahawan negara seperti mana Hari Usahawan Negara.


“Lagipun HUN 2022 diadakan khusus buat usahawan (IKS) untuk berkembang lebih jauh menerusi aplikasi dan laman sesawang HUN 2022 yang diwujudkan bagi mempromosikan produk IKS secara dalam talian dan membolehkan jualan secara terus kepada pelanggan selain sebagai platform berkongsi informasi,” katanya.


Tambahnya, HUN 2022 diadakan untuk merancakkan kembali ekonomi negara dengan mewujudkan peluang yang lebih luas selepas ramai usahawan terjejas akibat pandemik Covid-19.


"Buat masa, ini 80 hingga 90 peratus perniagaan dalam Malaysia berada di bawah IKS dan hanya dua puluh peratus golongan usahawan korporat kita berjaya mengeksport produk mereka ke luar negara, " jelasnya.


Abu Hasan juga berkata, HUN 2022 adalah acara terbaik buat usahawan IKS kerana mereka bakal menerima pendedahan pelaksanaan produk seperti pelabelan, pembungkusan, pembiayaan dan penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.


Ujarnya bersempena dengan HUN 2022, lebih 2,000 lot pameran disediakan di dalam dan luar (perkarangan) WTCKL.


“Sebanyak kira-kira 300 lot pameran pula diperuntukkan buat usahawan luar negara serta 100 lot pameran khas buat selebriti tempatan.


“Seramai 5,000 hingga 10,000 pengunjung dijangka hadir setiap hari pada HUN 2022 kerana terdapat pelbagai acara menarik turut disediakan,” katanya.


Antara aktiviti yang disediakan untuk memeriahkan acara tersebut adalah persembahan penyanyi popular dan kumpulan busker, program memasak selama 72 jam tanpa henti, 72 jam operasi rumah hantu yang dikendalikan oleh anak-anak tahfiz, himpunan food truck, pameran motosikal dan kereta klasik serta mewah.


Demi menjaga keselamatan usahawan dan pengunjung yang hadir, jelas Abu Hassan, acara HUN 2022 diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah di tetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


HUN 2022
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar meletakkan tangan di atas skrin elektronik semasa perasmian HUN 2022

Majlis pelancaran HUN 2022, semalam dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar itu turut diserikan dengan nyanyian Keena Mentor yang dipilih mendendangkan lagu tema HUN 2022. Turut menghiburkan tetamu ialah Datuk Hattan dan Ayu Damit.


Sempena pelancaran HUN 2022, turut dilancarkan aplikasi dan laman sesawang HUN 2022 (www.hariusahawannegara.com.my).


Sebarang maklumat tentang HUN 2022 boleh didapati dengan melayari website HUN 2022, www.hariusahawannegara.com.my dan media sosial rasmi, HUN Malaysia (Facebook) & hun2022official (Instagram).

bottom of page