Drama KAMI BUDAK BAND Hiasi Slot Lestary TV3
top of page
  • Writer's pictureMYB

Drama KAMI BUDAK BAND Hiasi Slot Lestary TV3

Tiga sahabat, Aiman, Rizal dan Haqiem yang berasal dari kampung yang sama ingin berjuang bagi menggapai mimpi dalam industri muzik. Di sebalik impian yang ingin mereka kecapi, pelbagai halangan dan cabaran yang perlu mereka hadapi. Dapatkah tiga sahabat ini melakar nama kumpulan kugiran mereka dalam dunia muzik?



Drama bersiri 13 episod ini merupakan terbitan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd. Kami Budak Band bersiaran bermula pada 18 Februari 2023 yang menggantikan I Love You, Mr. Clown. Saksikan Kami Budak Band setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam menerusi slot Lestary hanya di TV3 dan strim secara langsung di www.tonton.com.my


Drama ini diarahkan oleh Helmi Yusof dan penghasilan skrip oleh Azril Hamzah, Amin Shakib dan Amar Amir. Kami Budak Band menampilkan barisan pelakon yang berbakat ditampilkan seperti Ezzrin Loy, Kucaimarz, Ariff Bahran, Didi Astillah, Qistina Khaled, Bella Dowanna, Putri Syahadah Nurjannah, Hasnul Rahmat, Cat Farish dan ramai lagi.


Aiman (Ezzrin Loy) sering terasa hati apabila dibandingkan oleh ibu bapanya, Encik Harun dan Puan Raihan dengan kejayaan yang telah dicapai oleh abang dan kakaknya. Aiman tidak dapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya apabila memilih untuk menceburi bidang muzik. Ibu bapanya menganggap Aiman telah membuat keputusan yang salah. Sejak Aiman dituduh mencuri di tempat kerjanya, Aiman telah bertengkar dengan ibu bapanya lalu dia mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-citanya.


Rezal (Ariff Bahran) merupakan seorang yang berbakat menulis puisi dan lirik tetapi seringkali tidak menepati harapan bapanya, Razman yang merupakan seorang guru muzik dan penyanyi rap. Rezal adalah kawan baik kepada Aiman dan mereka berdua bersetuju untuk membawa diri ke Kuala Lumpur untuk melakar nama dalam industri muzik dengan kumpulan ‘Kami Budak Band’.


Haqiem (Kucaimarz) yang juga rakan sekampung mereka, kagum dengan kebolehan yang ada pada Aiman dan Rezal. Haqiem nekad untuk mengajak mereka bergabung membentuk kugiran bersama. Apabila mendapat tahu yang Aiman dan Rezal akan ke Kuala Lumpur, Haqiem bersedia untuk menurut jejak langkah mereka. Berjayakah tiga sahabat ini menghadapi segala konflik di ibu kota? Dapatkah mereka mengukir nama ‘Kami Budak Band’ dalam industri muzik tanah air?


Jangan terlepas untuk saksikan Kami Budak Band di slot Lestary, setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam dan strim secara langsung dan definisi tinggi melalui www.tonton.com.my.

bottom of page