top of page

Dua Bakat Tempatan Wakili Malaysia Ke Karaoke Dunia 2025 Di Bangkok

  • Writer: MYB
    MYB
  • 6 hari lalu
  • 2 min membaca

Kuala Lumpur – Malaysia bakal mencatatkan satu lagi detik penting dalam arena seni suara apabila dua penyanyi berbakat tempatan, Nor Hisham bin Md Yusof dan Osman bin Yahya, dipilih mewakili negara ke Karaoke World Championship (KWC) 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada bulan November ini.


ree

Foto dari kiri Osman bin Yahya dan Nor Hisham bin Md Yusof


Kedua-dua finalis ini berjaya mara selepas melalui proses saringan ketat di peringkat tempatan yang dikendalikan oleh pihak penganjur KWC sendiri.


ree

Sidang media pengumuman turut disertai Kamsari bin Jalil, wakil My Muzik Sendiri Entertainment yang bertindak sebagai promoter rasmi. Beliau juga mengumumkan bahawa Nor Hisham dan Osman dilantik sebagai duta rasmi produk BTA Global X, sekali gus membuka peluang mengangkat jenama tempatan ke persada antarabangsa.


Osman berkongsi bahawa peluang beraksi di Bangkok hadir selepas mereka menjuarai peringkat saringan di Layar Farm Golf, meskipun pertandingan itu hanya bermula dengan bilangan peserta yang kecil. Kini, beliau bersama Nor Hisham tekad untuk menggalas cabaran besar demi mengharumkan nama Malaysia.


ree

“Kami tidak sangka terpilih ke final, tetapi inilah tanggungjawab berat untuk mengharumkan nama Malaysia. Persediaan kini lebih serius dengan latihan vokal, rehat yang cukup dan pemilihan lagu terbaik,” kata Osman penuh semangat.



Nor Hisham pula menjelaskan bahawa walaupun beliau cenderung kepada genre pop dan balada, pemilihan lagu pertandingan tetap akan mengambil kira keadaan vokal. Mereka memilih untuk merahsiakan lagu yang bakal dipersembahkan sebagai kejutan, namun mengesahkan lagu berbahasa Melayu wajib disampaikan pada edisi kali ini.


Pertandingan KWC 2025 dijangka menghimpunkan lebih 30 negara dengan kategori solo menawarkan hadiah utama €5,000 (kira-kira RM25,000). Hanya peserta amatur dibenarkan bertanding, memberi ruang luas kepada bakat baharu dunia.


Dari aspek logistik, kos penerbangan dan penginapan kedua-dua wakil negara ditanggung oleh Mana Cafe. Namun, cabaran utama tetap pada latihan intensif serta kekangan masa memandangkan mereka juga bekerja sendiri dan perlu mengimbangi komitmen lain.


ree

“Kami datang bukan sekadar untuk sertai, tetapi dengan niat mahu menang. Inilah peluang sekali seumur hidup untuk membuktikan bakat Malaysia di pentas antarabangsa,” ujar Nor Hisham dengan penuh keyakinan.




Kamsari bin Jalil menegaskan platform ini bukan sahaja menonjolkan bakat tempatan, malah berfungsi mengangkat budaya dan bahasa Melayu ke peringkat dunia. Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memberi sokongan moral kepada Nor Hisham dan Osman, khususnya melalui media sosial dan tontonan secara langsung dalam talian.


“Ini bukan sekadar pertandingan karaoke, tetapi peluang mengangkat budaya dan bahasa Melayu ke pentas dunia,” katanya.


Dengan semangat juang tinggi, Malaysia kini menaruh harapan besar kepada dua wakil ini untuk mencipta sejarah di Bangkok. Sama ada berjaya membawa pulang gelaran juara atau tidak, penyertaan mereka sudah cukup menjadi kebanggaan buat industri seni suara tanah air. Peminat boleh mengikuti perjalanan mereka di TikTok Nor Hisham: @mr_nasibiryani dan Osman : @___mansha___



bottom of page