top of page

Edisi Vinyl Eksklusif Universal Music Malaysia Raikan 40 Tahun Legasi Datuk Sheila Majid

  • Writer: MYB
    MYB
  • 23 Sep
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia bersama PMP Entertainment telah melakar sejarah baharu dalam industri muzik tempatan dengan melancarkan kesemua lapan album Datuk Sheila Majid dalam format vinyl. Pelancaran edisi terhad ini merupakan yang pertama seumpamanya buat seorang artis Malaysia, menjadikannya satu koleksi yang sangat istimewa.


Edisi Vinyl Eksklusif Universal Music Malaysia Raikan 40 Tahun Legasi Datuk Sheila Majid
Pelancaran vinyi eksklusif ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-40 Datuk Shiela Majid dalam dunia muzik, malah ia juga turut menandakan sambutan menjelang konsert “Sheila Majid 40 Years in Music” yang bakal berlangsung pada 8 November 2025.

Inisiatif ini bukan sekadar hadiah istimewa buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu Datuk Sheila Majid, tetapi juga bertujuan untuk meraikan ulang tahun ke-40 beliau dalam industri muzik.


Menurut Hermond Cheng, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, pelancaran ini juga dibuat bersempena dengan Konsert Sheila Majid 40 Years in Music yang akan datang.


“Ini merupakan kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album dalam format vinyl. Ia juga diharap dapat mengimbau kenangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu Datuk Sheila Majid serta perjalanan seninya,” ujar beliau.


Edisi vinyl ini adalah koleksi yang sangat eksklusif kerana hanya 300 set sahaja yang ditawarkan kepada peminat. Pra-tempahan akan dibuka pada 23 September 2025, jam 12:00 tengah hari dengan harga istimewa RM1,499.00, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599.00. Set vinyl ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025.


Projek bersejarah ini turut melibatkan kerjasama tiga label utama, iaitu EMI Music/Universal Music, Warner Music Malaysia, dan Magada Entertainment Sdn Bhd. Lapan album yang disertakan dalam set ini adalah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita, dan Boneka. Koleksi ini dijangka menjadi khazanah berharga bukan sahaja bagi peminat setia Datuk Sheila Majid, malah pencinta muzik dan pengumpul vinyl.


Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan, peminat boleh mengikuti laman rasmi media sosial Universal Music Malaysia.



Komen


bottom of page