Ejen Ali The Movie 2 Pecah Rekod! Raih RM34.2 Juta, Filem Animasi Tempatan Paling Pantas Cipta Sejarah!
- MYB
- 2 Jun
- 2 min membaca
Kuala Lumpur – Filem animasi tempatan yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), kini secara rasminya mencatat sejarah apabila berjaya mengumpul kutipan pecah panggung melebihi RM34.2 juta dalam tempoh hanya 11 hari tayangan. Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja memecahkan rekod kutipan filem pertamanya, malah menjadikan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat!

Kejayaan EATM2 ini lebih membanggakan apabila ia turut mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada bulan Mei 2025, termasuklah Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch. Ini jelas membuktikan kehebatan karya tempatan yang mampu bersaing sengit di layar perak global.
Lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2 setakat ini. Sambutan luar biasa ini didorong oleh kehadiran penonton yang membanjiri pawagam, menjadikan EATM2 pilihan utama seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu.
Ramai penonton berkongsi pengalaman bahawa mereka menonton filem ini lebih daripada sekali, malah teruja mengajak ahli keluarga lain untuk turut serta menjadikannya aktiviti riadah bersama di musim cuti sekolah.
Pengarah filem, Usamah Zaid Yasin, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa penonton Malaysia untuk filem ini.
“Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia. Reaksi penonton di pawagam penuh tawa, air mata, tepukan, itulah hadiah paling berharga buat kami,” jelas Usamah.

Sementara itu Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, turut berkongsi rasa syukur atas rekod baharu yang dicapai. Beliau menegaskan bahawa kutipan RM34.2 juta bukan sekadar angka, tetapi melambangkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan.
Populariti EATM2 turut menarik perhatian selebriti, termasuklah biduanita negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza. Beliau meluangkan masa bersama anak-anaknya, Afwa dan Aafiyah, untuk menonton filem ini. Beliau turut menyeru ibu bapa untuk membawa seisi keluarga menonton filem ini di musim cuti sekolah.
"Banyak mesej positif yang ditampilkan dalam Ejen Ali The Movie 2 termasuk disiplin, keberanian dan keyakinan diri. Sesuai sangat untuk tontonan seisi keluarga," ujar Dato' Sri Siti Nurhaliza
EATM2 bukan sahaja menampilkan animasi bertaraf antarabangsa, tetapi juga menyuntik nilai-nilai tempatan yang dekat di hati penonton. Dengan jalan cerita yang penuh aksi dan emosi, serta watak-watak yang semakin matang, filem ini berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Masih ditayangkan di pawagam seluruh negara, EATM2 turut menawarkan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot dan barangan eksklusif di lokasi terpilih – menjadikannya pengalaman hiburan yang lengkap untuk seisi keluarga.
Comments