• MYB

Enggan Ulangi Kesilapan, Ziha Salleh Kembali Dengan 'Adat Kasih'

Walau sudah hampir empat tahun membuat keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni demi memberikan tumpuan kepada anak-anak, tetapi jauh di sudut hati penyanyi dan juga pelakon Ziha Salleh masih menyimpan impian untuk kembali aktif khususnya pada bidang nyanyian.


Dalam kesibukan menguruskan hal rumah tangga dan keluarga, rupa-rupanya Ziha atau nama sebenarnya Nor Aziha Md Salleh, dalam diam sibuk menyiapkan single keduanya tahun lalu.


Adat Kasih, Ziha Salleh
Selepas 4 tahun memperlahankan kejaya seninya, Ziha Salleh kembali dengan Adat Kasih, single terbaru dengan konsep pop tradisional.

Selepas setahun ‘merahsiakan’ rencananya itu, Ziha akhirnya muncul dengan single berkonsepkan pop tradisional berjudul Adat Kasih.


Menurut Ziha, dia memang sengaja merahsiakan kemunculan single terbarunya itu daripada pengetahun sesiapa kecuali ahli keluarga terdekat sahaja.


Memilih irama pop tradisional sebagai taruhan terbarunya, Ziha berkata pendedahan awal dan latar belakang keluarga yang meminati lagu Irama Tradisional dan Zapin menjadi faktor dia memilih lagu berkonsepkan pop tradisional itu.


“Irama tradisional cukup dekat dengan jiwa kerana saya dilahirkan di Johor Bahru, latar belakang keluarga yang menggemari irama tradisional dan zapin turut menyuntik minat saya terhadap irama tradisional sejak kecil lagi.

“Namun, bagi membolehkan Adat Kasih diterima ramai dan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini, saya mengambil langkah menggabungkan elemen pop bersama tradisional.


“Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan lagu yang bersesuaian, oleh itu saya dan suami mengkaji betul-betul selama dua tahun sebelum terlahirnya single ini.


“Kami memilih Aubrey Suwito sebagai komposer kerana yakin dengan kredibiliti dan juga kemampuannya. Pengalamannya yang banyak kali bekerjasama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga membuatkan kami yakin dia mampu memberi apa yang terbaik,” kata Ziha.


Menurut Ziha lagi, sebelum Aubrey menghasilkan lagu buatnya, mereka terlebih dulu berjumpa bagi membincangkan mengenai konsep lagu serta rujukan muzik yang bersesuaian.


“Ketika Aubrey memperdengarkan demo Adat Kasih buat pertama kali, saya terus berkenan. Dia tahu apa yang saya mahukan, dan auranya sampai.


“Kami mengambil sedikit masa untuk membuat “arrangement” yang bersesuaian dengan saya. Setelah berpuas hati, barulah proses rakaman dijalankan. Proses rakaman dibuat di Cranky Studios hanya mengambil masa sehari saja,” katanya yang turut mengikuti kelas vokal selama empat minggu sebelum proses rakamam bagi menjaga kualiti suaranya..


Dia juga enggan mengulangi kesilapannya sewaktu tampil dengan single pertama Takkah Ini Cinta kira-kira empat tahun lalu.


Kata Ziha, ketika itu dia terburu-buru ingin memiliki single pertama tanpa mempedulikan sama ada dia sudah bersedia ataupun tidak.


“Waktu itu saya rasakan saya sudah cukup bersedia, sedangkan saya sebenarnya belum cukup bersedia dari segi nyanyian dan publisiti. Dengan keadaan semasa yang tidak menyebelahi saya pada ketika itu, saya keluarkan juga single itu kerana selepas AF (Akademi Fantasia) tamat, saya lebih banyak berlakon sehingga orang lupa yang saya juga sebenarnya penyanyi.


“Jadi kali ini saya tidak mahu terburu-buru lagi. Sebagi persediaan, saya turut mengikuti kelas vokal intensif selama empat minggu bersama Puan Faezah daripada Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, banyak teknik nyanyian yang betul saya pelajari bersama beliau,” katanya.


Ditanya tidakkah dia bimbang berdepan persaingan daripada artis BBNU yang lebih dikenali serta memiliki banyak lagu popular dan trending, penyanyi berusia 27 tahun itu berkata, setiap penyanyi mempunyai sasaran mereka yang tersendiri.


Ziha Salleh
Ziha Salleh

Katanya, dia mensasarkan peminat yang memiliki hati dan jiwa pada alunan muzik irama tradisional seperti dirinya.


“Saya tidak takut untuk bersaing kerana setiap penyanyi mempunyai sasaran pendengar yang diinginkan. Sasaran saya adalah kepada mereka yang ada hati dan jiwa pada irama muzik tradisional.

“Tapi bagi membolehkan lagu saya diterima, saya menyuntik irama pop dan tradisional sebagai pengenalan. Mungkin selepas ini, andai ada rezeki lagi untuk merakamkan single, saya akan memperkenalkan irama tradisional sepenuhnya pula,” katanya yang mendedikasikan “Adat Kasih” kepada kedua ibu bapa, mertua dan ahli keluarga.


Lirik Adat Kasih, berkisar penghargaan kepada orang tersayang yang sentiasa berada di sisi saat susah mahupun senang.


Sementara itu, Aubrey Suwito yang bertindak selaku komposer Adat Kasih berkata, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan lagu berkenaan kerana menggabungkan dua irama berbeza.


Kata Aubrey, dia memilih lagu yang kedengaran seperti pantun dan menyuntik sedikit muzik kanak-kanak supaya lagu itu kedengaran menarik serta mudah diingati.


“Sewaktu sesi perbincangan, Ziha memaklumkan genre bagaimana yang dia mahukan. Genre yang dia pilih memang agak berlainan. Dia beritahu meminati lagu pop dan tradisional, jadi hampir sebulan juga barulah saya berjaya menghasilkan irama yang dikehendakinya.


“Pertama kali dengar, dia terus berpuas hati dan gembira. Tidak ada proses penambahbaikkan berkali-kali. Sebelum proses rakaman dimulakan, saya mengadakan bengkel selama dua hari bersama dengan Ziha.


“Memang menjadi kelaziman saya berbuat demikian supaya boleh tumpukan bahagian mana perlukan diberikan tumpuan contohnya bila perlu menggunakan vokal yang keras dan bahagain mana perlu dilembutkan. Selain itu saya juga mahu penyanyi lebih bersedia sewaktu rakaman dilakukan supaya prosesnya tidak memakan masa lama,” katanya.


Adat Kasih telah dilancarkan di semua platfom digital bermula 21 Januari lalu. Muzik video lagu itu juga akan dilancarkan pada tarikh sama dan boleh ditonton di saluran Cranky Music.


0 comments