top of page

Epik Srikandi Kelantan Kembali Bernafas Dalam Pementasan Muzikal Paduka Cik Siti

  • Writer: MYB
    MYB
  • 2 jam lalu
  • 2 min membaca

PUTRAJAYA— Pentas seni tanah air bakal digegarkan dengan kebangkitan sebuah naskhah epik apabila Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berganding bahu dengan persatuan alumninya untuk mementaskan Teater Muzikal Paduka Cik Siti. Pementasan berskala besar ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.


Epik Srikandi Kelantan Kembali Bernafas Dalam Pementasan Muzikal Paduka Cik Siti
Teater Muzikal Paduka Cik Siti mengangkat kisah epik Cik Siti Wan Kembang, Raja wanita Melayu yang terkenal dengan keberanian, kebijaksanaan, dan keteguhan mempertahankan maruah negeri.

Karya ini menjanjikan kelainan dengan mengangkat kisah legenda Raja Wanita Melayu, Cik Siti Wan Kembang, yang terkenal dengan keberanian luar biasa dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negeri.


Di bawah arahan pengarah berkaliber, Che Kem, naskhah ini tidak hanya terikat pada gaya tradisional semata-mata, sebaliknya disuntik dengan elemen kontemporari dan "spektakular" bagi memenuhi cita rasa penonton masa kini tanpa mengorbankan jiwa asalnya.


"Kita sering memperkatakan bahawa Cik Siti Wan Kembang ini adalah seorang srikandi, tetapi tidak ada satu cerita atau skrip yang membincangkan tentang beliau sebagai seorang srikandi," jelas Che Kem yang bertekad meneroka sisi kebijaksanaan dan kesaktian pemimpin wanita Kelantan itu di pentas.
Epik Srikandi Kelantan Kembali Bernafas Dalam Pementasan Muzikal Paduka Cik Siti
Asmidar Ahmad memegang watak utama sebagai Cik Siti Wan Kembang, disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Dr Norzizi Zulkifli (Seri Banun), Taqim Zaki (Panglima Merah), Syukor Ibrahim Bachik, dan Shahrul Mizad (Raja Siam).

Barisan pelakon yang mantap menjadi taruhan utama produksi ini. Penyanyi bervokal lantang, Asmidar Ahmad, diberi tanggungjawab besar menggalas watak tajuk sebagai Cik Siti Wan Kembang, manakala tokoh teater disegani, Dr. Norzizi Zulkifli, memegang watak bondanya, Seri Banun. Pementasan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Taqim Zaki sebagai Panglima Merah, Shahrul Mizad sebagai Raja Siam, dan pelakon muzikal hebat, Syukor Ibrahim Bachik.



Plot pementasan ini menyingkap dilema Cik Siti Wan Kembang sebagai satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terpaksa memikul amanah berat. Penonton bakal dibawa menyelami perjuangan beliau menolak pinangan raja-raja lain demi tugas, berdepan cabaran pembesar sendiri, ancaman Siam, serta memendam rasa cinta demi negara.



Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar, menyifatkan pementasan ini sebagai usaha penting institusi itu untuk menterjemahkan legenda silam agar relevan buat generasi muda. Menurut beliau, walaupun jalan ceritanya adalah satu interpretasi kreatif dan bukan salinan sejarah sepenuhnya, ia tetap mengangkat kehebatan Cik Siti Wan Kembang, terutamanya dalam menangani musuh dan konflik diplomatik.



Bagi peminat teater yang ingin menyaksikan sendiri kehebatan srikandi Melayu ini, tiket telah mula dijual di cloudjoi.com dengan harga bermula RM40 hingga RM150. Pementasan akan dimulakan dengan Malam Gala pada 19 Disember, diikuti dengan persembahan petang dan malam pada hari-hari berikutnya.



Komen


bottom of page