Qalam Band Kembali Meruntun Jiwa, 'Tanpa Noktah' Singkap Derita Cinta Tanpa Penjelasan
- MYB
- 3 hari lalu
- 2 min membaca
Updated: 34 minit lalu
KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik yang berasal dari negeri Perak, Qalam Band, kini membuat kemunculan semula yang bertenaga menerusi pelancaran single terbaharu mereka berjudul "Tanpa Noktah" yang telahpun diluncurkan pada Ogos lalu. Terkini Qalam Band bukan lagi berlima. Legasi kumpulan itu kini diteruskan oleh Eynol, Faizwan dan Izad (Mukhrizad).

Naskhah bergenre balada kontemporari ini disifatkan sebagai sebuah karya yang sarat dengan emosi, mengangkat tema perpisahan yang menyakitkan apabila sebuah hubungan cinta terhenti di tengah jalan tanpa sebarang penjelasan atau penutup (closure).
Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh pemain bass kumpulan tersebut, Mukhrizad, dan diinspirasikan daripada peristiwa sebenar. "Tanpa Noktah" cuba menyelami perasaan perit seseorang yang ditinggalkan secara tiba-tiba, tanpa sebab yang jelas dan dibiarkan terkapai-kapai dengan persoalan yang tidak berkesudahan.
Dengan susunan muzik yang minimalis, fokus utama lagu ini diletakkan pada penyampaian vokal yang "raw" dan lirik yang puitis bagi memastikan emosi tersebut sampai terus ke hati pendengar.
Menurut Qalam Band yang mula ditubuhkan pada tahun 2011, proses pembikinan lagu ini mengambil masa selama dua bulan, merangkumi pembangunan melodi sehinggalah ke proses rakaman.
Mereka mengakui cabaran terbesar sepanjang penghasilan karya ini adalah untuk menyampaikan rasa sedih itu dengan sejujur mungkin tanpa kelihatan berlebih-lebihan, memandangkan liriknya yang sangat peribadi.
"‘Tanpa Noktah’ mencerminkan sisi muzik kami yang lebih matang dan mendalam. Ia bukan sekadar lagu cinta, tetapi satu pengakuan tulus mengenai emosi yang terlalu berat untuk diungkapkan dengan kata-kata," jelas Eynol mewakili kumpulan tersebut.
Kemunculan "Tanpa Noktah" juga menjadi petanda aktifnya semula Qalam Band dalam arena muzik. Kumpulan ini kini sedang merangka strategi untuk berkolaborasi dengan artis tempatan lain serta dalam proses menyiapkan sebuah album mini yang bakal memuatkan beberapa lagu baharu.
"Tanpa Noktah" kini sudah boleh dinikmati di seluruh platform penstriman digital. Sementara itu, muzik video lagu itu kini boleh ditonton di akaun Youtube SonyMusicMYVEVO





