Ernie Zakri & Syamel Cipta Magis Nostalgia: Konsert Eksklusif Tahun Baru di Le Méridien PJ
- MYB
- 30 Jul
- 2 min membaca
PETALING JAYA – Sambutan malam Tahun Baru 2026 bakal diserikan dengan pengalaman yang luar biasa menerusi acara eksklusif bertajuk ‘Nostalgia: Malam Makan Malam & Konsert Eksklusif Tahun Baru’, hasil kolaborasi antara Le Méridien Petaling Jaya dan Universal Music Malaysia.

Acara yang dijadualkan berlangsung pada 31 Disember 2025 di Grand Ballroom hotel itu menjanjikan malam penuh emosi dan elegan bersama pasangan duet tersohor tanah air, Ernie Zakri dan Syamel, yang akan menghiburkan para tetamu menerusi persembahan tiga jam lagu-lagu popular dan klasik yang menyentuh jiwa.
Menurut Ernie, acara ‘Nostalgia’ ini bukan sekadar persembahan biasa, malah ia merupakan ruang peribadi untuk berkongsi kenangan dan rasa syukur bersama peminat.
“Saya amat menantikan peluang ini untuk menyentuh hati para tetamu dengan nyanyian dan kisah-kisah yang dekat di hati saya,” ujar Ernie yang kini berusia 33 tahun.
Pasangannya, Syamel pula melihat pentas ‘Nostalgia’ sebagai medan terbaik untuk mengakhiri tahun dengan penuh makna.
“Tiada yang lebih bermakna selain menghiburkan mereka yang menghargai muzik saya. Saya janji akan berikan persembahan terbaik malam itu,” jelas Syamel.
Acara ini turut menampilkan DJ Fuzz yang bakal memeriahkan detik 12 malam dengan set muzik bertenaga, meraikan detik masuknya tahun baharu 2026 dengan penuh gaya.
Selain muzik, malam ‘Nostalgia’ akan turut menyajikan tetamu dengan empat hidangan premium Barat, hasil ciptaan khas pasukan kulinari Le Méridien. Gabungan muzik, makanan dan suasana mewah menjadikan ia satu pengalaman menyeluruh yang pasti dikenang.

Menurut Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya, Christopher Moore, acara ini adalah lebih daripada sekadar sambutan tahun baharu.
“‘Nostalgia’ adalah penghormatan kepada muzik sepanjang zaman dan simbolik permulaan baharu dengan sentuhan hospitaliti bertaraf dunia,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh magis ini, empat kategori meja ditawarkan: Platinum (RM13,999), Diamond (RM10,888), Gold (RM8,000), dan Silver (RM6,000).
Kategori Platinum menawarkan lokasi utama di hadapan pentas, sesi Meet & Greet, lounge VIP, hadiah eksklusif, minuman sparkling juice tanpa had, dan diskaun 50% untuk penginapan. Manakala kategori Diamond pula menawarkan lokasi berhampiran pentas, sesi foto berkumpulan, set hadiah VIP, servis mocktail, dan diskaun 30% penginapan. Tempat duduk individu juga disediakan untuk kategori Silver dan Gold.
Dapatkan tawaran "Early Bird Exclusive" bermula 1 Ogos hingga 1 Oktober 2025, di mana anda akan menikmati penginapan percuma satu malam apabila membeli meja kategori Silver & Gold (1 bilik) atau Diamond & Platinum (2 bilik).
Tiket dan tempahan boleh dibuat bermula 8 Ogos ini di laman web rasmi www.nostalgianye.my, yang dikuasakan oleh TWIPORT Sdn Bhd. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengukir kenangan indah di malam Tahun Baharu bersama Ernie Zakri dan Syamel!
Komen