top of page

Inteam Raikan 25 Tahun Kembara Nur Kasih, Konsert Besar di Axiata Arena, Hadiah Umrah Menanti Peminat Bertuah!

  • Writer: MYB
    MYB
  • 22 jam lalu
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR –Selepas dua dekad lebih mengisi ruang seni hiburan tanah air dengan irama penuh makna dan zikir kasih, kumpulan nasyid tersohor Inteam kini bersedia meraikan ulang tahun ke-25 mereka dengan sebuah konsert istimewa bertajuk “25 Tahun Inteam Nur Kasih”, yang bakal berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


ree

Konsert mega ini dianjurkan oleh ICON Entertainment di bawah pimpinan Iman Tang, dan dijangka menjadi antara konsert Islamik terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia pada tahun hadapan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perjalanan rohani dan penghargaan buat para peminat yang setia bersama Inteam sejak tahun 2000.


Foto Inteam bersama Iman Tang (foto 2 dari kanan) semasa Sidang Media 25 Tahun Inteam Nur KasIh baru-baru ini
Foto Inteam bersama Iman Tang (foto 2 dari kanan) semasa Sidang Media 25 Tahun Inteam Nur KasIh baru-baru ini

Menurut Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, konsert ini membawa mesej mendalam tentang kasih, ketenangan dan syukur atas perjalanan panjang Inteam dalam dunia seni.

“Kami tidak mahu konsert ini menjadi sekadar persembahan muzik. Ia adalah penghargaan kepada peminat dan bukti bahawa karya berunsur kerohanian tetap mempunyai tempat dalam industri hiburan arus perdana,” katanya.

Iman juga menambah, Inteam merupakan kumpulan yang berjaya menyatukan seni, dakwah dan inspirasi, menjadikan mereka antara nama yang paling dihormati dalam dunia nasyid moden.

“Inteam menyampaikan mesej Islam dengan cara yang indah dan menyentuh hati. Lagu-lagu mereka seperti Nur Kasih, Kerana Cinta, Dia dan Kasih Kekasih bukan sahaja popular, tetapi juga menjadi penenang jiwa bagi ramai pendengar,” ujarnya lagi

Anggota Inteam iaitu Hazamin Harun, Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad bakal membawa peminat mengimbau perjalanan seni mereka selama 25 tahun.Dari pentas kecil ke arena besar, dari kaset ke platform digital, Inteam kekal relevan dengan mesej kasih yang tidak pernah pudar.

“Ini bukan sekadar ulang tahun, tetapi tanda syukur atas kasih dan sokongan peminat sejak hari pertama kami melangkah. Kami mahu peminat pulang dengan rasa bahagia dan ketenangan,” kata Hazamin mewakili kumpulan.

Menariknya, enam pembeli tiket bertuah bakal memenangi pakej umrah bernilai RM8,999 setiap satu tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn. Bhd.! Selain itu, 10 baucar umrah bernilai RM5,000, dua skuter Modenas Elit 150s dan satu telefon pintar eksklusif turut menanti peminat bertuah.


ree

Konsert ini bakal menampilkan lagu-lagu ikonik seperti Nur Kasih, Kerana Cinta, Dia dan Kasih Kekasih dari koleksi mereka sebanyak 130 buah lagu, semua karya ini sudah sinonim dengan dakwah melalui seni.


Yang lebih istimewa, inteam akan menampilkan single lagu terbaru mereka berjudul 'Satukan Kami di Syurga'.


ree

Tiket dijual bermula Jumaat ini melalui www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih, berharga antara RM168 hingga RM488.





bottom of page