Filem Animasi Ejen Ali The Movie 2 Pecah Rekod Kutipan Pawagam, Raih RM50.7 Juta!
- MYB
- 4 hari lalu
- 1 min membaca
Filem animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), terus mencipta sejarah apabila berjaya mengumpul kutipan pawagam sebanyak RM50.7 juta selepas 18 hari tayangan. Kejayaan luar biasa ini mengukuhkan kedudukan EATM2 sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia, sekali gus menjadi pemacu utama industri animasi tempatan.

Sejak mula ditayangkan pada 22 Mei 2025, EATM2 telah menerima sambutan hangat daripada pelbagai lapisan penonton, termasuk keluarga, remaja, dan peminat setia francais Ejen Ali. Filem ini dipuji kerana mutu produksi teknikalnya yang bertaraf antarabangsa, naratif yang menyentuh hati, dan pengalaman sinematik yang mengujakan, mendorong ramai penonton untuk menontonnya berulang kali.
Pengarah filem, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil usaha gigih pasukan produksi dan sokongan luar biasa daripada para peminat. “Kami berani mencuba pelbagai strategi promosi baharu untuk menawan hati penonton, dan sambutan yang diterima amat luar biasa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian ini. “Lebih daripada sekadar kutipan box office, kejayaan ini membuktikan keyakinan terhadap kualiti kandungan buatan Malaysia dan memberi semangat baharu untuk kami terus melabur dalam industri animasi tempatan,” ujarnya.
Selain kejayaan di Malaysia, EATM2 juga telah menembusi pasaran Singapura pada 5 Jun lalu dan dijadualkan untuk tayangan di Indonesia pada 27 Jun. Pembukaan tayangan di pasaran antarabangsa ini merupakan langkah penting dalam membawa animasi Malaysia ke pentas serantau.
Filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh negara. Rakyat Malaysia digalakkan untuk terus menyokong EATM2 bagi mencapai aspirasi untuk mengangkatnya sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Comments