Andy Lau dan Karen Mok berganding semula selepas 19 tahun dalam filem bencana nuklear pertama Hong Kong yang bakal ditayangkan di pawagam tempatan bermula 7 November ini.
"Cesium Fallout" mengisahkan detik-detik cemas apabila Hong Kong dilanda kebocoran bahan radioaktif yang mengancam nyawa tujuh juta penduduknya. Filem arahan Anthony Pun ini menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Bai Yu, Bowie Lam dan Louise Wong.
Dalam filem ini, Andy Lau memegang watak Simon Fan, seorang pakar radiasi nuklear yang terpaksa bekerjasama dengan Pemangku Ketua Eksekutif Cecilia (lakonan Karen Mok) untuk menyelamatkan bandar raya tersebut. Pada masa yang sama, Pegawai Stesen Lai Kit-fung (Bai Yu) dan pasukan bomba beliau berada di barisan hadapan untuk membendung krisis yang bermula dengan kebakaran di sebuah pusat kitar semula.
Selain jalan cerita yang menarik, filem ini turut mengetengahkan kesan khas yang menakjubkan, mengubah panorama Hong Kong yang sibuk menjadi kawasan yang dilanda malapetaka radiasi. Ia bukan sekadar filem aksi, malah meneroka ketabahan manusia dalam menghadapi cabaran yang di luar dugaan.
"Cesium Fallout" menandakan pertemuan semula Andy Lau dan Karen Mok sejak filem terakhir mereka, "Wait 'Til You're Older" pada 19 tahun lalu. Gabungan watak mereka sebagai ahli politik dan pejuang kemanusiaan mewujudkan dinamik yang menarik dalam penceritaan.
Dengan skala produksi yang besar dan jalan cerita yang mendebarkan, "Cesium Fallout" dijangka akan menjadi salah satu filem blockbuster yang tidak boleh dilepaskan tahun ini. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 November 2024.
Comments