Filem Pagari Bulan Angkat Tema Gelap Kisah 'Wanita Penghibur' Era Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu
top of page
  • Writer's pictureMYB

Filem Pagari Bulan Angkat Tema Gelap Kisah 'Wanita Penghibur' Era Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu

Malam gala tayangan filem 'epik perang' terbaru terbitan Eleven Field Creative Sd Bhd - 'Pagari Bulan' telah berlansung pada 27 September 2023 di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Barisan pelakon bersama pengarah, Ts Raja Mukhriz Raja Ahmad dan penerbit filem 'Pagari Bulan', Sharifah Shahora Syed Akil pada malam gala tayangan filem tersebut minggu lalu di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang.

Filem 'Pagari Bulan' mengangkat tema gelap kisah 'comfort women' atau 'wanita penghibur', satu gelaran yang diberikan kepada wanita dan gadis yang dipaksa menjadi 'hamba seksual' oleh Tentera Imperial Jepun di negara dan wilayah yang diduduki sebelum dan semasa Perang Dunia II.


Idea filem ini berakar daripada Ellyna Ahmad dan Ts Raja Mukhriz Raja Ahmad yang melihat keperluan untuk mengangkat topik 'comfort women', sebuah topik yang belum banyak dijelajahi dalam filem Malaysia. Skrip dan lakonan filem "Pagari Bulan" dikendalikan oleh Siti Jasmina Ibrahim, yang berjaya menyampaikan cerita ini dengan kesan yang mendalam.


Untuk menghidupkan filem Pagari Bulan, sutradara Ts Raja Mukhriz telah menghimpunkan barisan pelakon yang berbakat. Teraju utama filem ini dibintangi pelakon wanita Nazeera Sardi dengan membawakan watak sebagai Bulan, seorang gadis berjiwa kental tampil penuh berani sebagai seorang pejuang yang memartabatkan kaum wanita.


Selain itu, filem ini turut menampilkan barisan pelakon-pelakon tempatan seperti Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong, dan Michael Ang, yang memberikan persembahan hebat dalam memerankan watak-watak penting dalam menghidup serta memberikan warna dalam keseluruhan cerita ini.



 

SINOPSIS


Filem "Pagari Bulan" menggambarkan semangat patriotisme dan ketabahan wanita-wanita Tanah Melayu pada era Perang Dunia II yang bangkit untuk mempertahankan martabat mereka ketika penjajah Jepun datang ke Kelantan.


Karya sinematik ini mengisahkan Bulan (Nazeera Sardi), anak sulung Ismail dan Hasnah, yang bukan sahaja seorang pengusaha tanaman yang mahir tetapi juga seorang pemburu yang luar biasa. Berlatar belakangkan sebuah perkampungan yang terletak di Kelantan yang berada di bawah pendudukan Jepun semasa Perang Dunia II, filem ini mengisahkan perjalanan sukar Bulan untuk melindungi penduduk kampung dan membebaskan orang tersayang daripada penindasan, kekejaman, dan cubaan menculik gadis-gadis sebagai tawanan oleh tentera Jepun.


Bulan bersama-sama adiknya Kasih (Putri Irin) serta sahabatnya Sui Li (Trisha Ooi) akhirnya ditangkap dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu mereka. Mereka dikurung dan dipaksa mengikut segala kemahuan seorang wanita yang ditugaskan menjaga mereka iaitu Momo-san (Chelsia Ng). Ramai lagi gadis kampung yang dikurung dan ia menyatukan penduduk kampung untuk merancang menyelamatkan anak gadis mereka termasuk Ismail (Wan Azli Wan Jusoh), Ah Leong (Michael Ang) iaitu ayah Sui Li,



Malangnya semasa usaha untuk menyelamatkan mereka, Azu (Andy Teh), orang kanan ketua pemerintah Jepun yang berkuasa di situ iaitu Kuzawa (Alvin Wong) telah berjaya menangkap Ismail dan beberapa orang penduduk dan dihantar ke utara untuk dijadikan tahanan dan dikerah membina landasan keretapi.


Semasa Bulan berjuang untuk terus hidup, muncul seorang leftenan muda, Miura (Aniq Durar) yang ditugaskan ke markas kuasa Kuzawa dengan membawa etika ketenteraan lebih profesional dan menolak nilai keganasan penderaan terhadap penduduk yang dijajah.


Miura juga seorang yang terpelajar dan telah mengkaji dan mengenali bahasa dan budaya penduduk Tanah Melayu sebelum datang bertugas. Apabila Miura melihat begitu banyak kekejaman yang berlaku, dia tidak sefahaman dan menentang cara Kuzawa.


Miura juga mengenali kekuatan gadis bernama Bulan ini yang baginya sangat luar biasa sebagaimana semangat penduduk di situ dengan Bulan sebagai lambangnya kentalnya hati mereka mahu bebas dari kekejaman dan penjajahan. Miura cuba membantu Bulan secara tidak langsung di belakang pengetahuan Kuzawa sehingga Miura sendiri jatuh cinta dengan Bulan.


VIDEO |


 

Walaupun tema gelap yang ditonjolkan berkenaan topik 'wanita penghibur' ini bersifat kontroversi, pendekatan yang diambil dalam menggarap naskah ini menjadi sebuah filem dilakukan secara halus dan mahir, tanpa sebarang adegan keganasan atau seksualiti yang tidak wajar.


Setiap barisan pelakon berjaya menghidupkan watak serta memberi warna pada keseluruhan cerita ini. Jalan ceritanya mudah difahami penonton, tiada 'plot twist' yang memaksa penonton berfikir dalam kecuali di pengakhiran cerita ini yang mungkin bakal menimbulkan sidikit tanda tanya? Apapun tahniah buat sutradara Ts Tengku Mukhriz kerana berjaya mencipta babak ganti yang baik untuk penutup filem ini.


Barisan pelakon seperti Aniq Durar, Alvin Wong, Andy Teh, dan Chelsia Ng wajar diberi pujian tinggi atas usaha mereka menguasai bahasa Jepun bagi menghidupkan watak masing-masing didalam filem ini. Tidak lupa buat Trisha Ooi yang berjaya menguasai dialek Kelantan tanpa kelihatan kekok.


Secara keseluruhan filem ini dilihat sebagai penanda aras kepada perkembangan industri filem tempatan Malaysia bukan hanya sekadar satu pencapaian dalam dunia seni visual, tetapi juga menjadi satu bukti bahawa filem Malaysia semakin matang dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi.


Filem 'Pagari Bulan' bakal memulakan tayangan pada 05 Oktober 2023 di lebih 60 pawagam seluruh Malaysia dan Singapura.



bottom of page