GF Galau Food Festival 2025 Sasar Tarik 40,000 Pengunjung, Pacu PKS Makanan Hujung Tahun
- MYB
- 10 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penganjur GF GALAU Food Festival (GFF2025), Gold Field Holding Sdn. Bhd., meletakkan sasaran optimistik untuk menarik antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung ke festival sulung mereka yang bakal berlangsung selama lima hari dari 27 hingga 31 Disember 2025.

GFF2025 yang dijangka akan beroperasi setiap hari bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam disifatkan sebagai acara makanan dan hiburan terbesar hujung tahun di Lembah Klang. Festival itu dilihat sebagai satu inisiatif strategik untuk merancakkan industri makanan tempatan.
Pemilihan lokasi di Setia Alam Convention Centre, Selangor , dianggap strategik, mengambil kira populariti kawasan itu yang sememangnya menggamit kehadiran ramai pengunjung pada hujung minggu.
Menurut Pengurus Acara Gold Field Holding Sdn. Bhd., Encik Azlisham Yusof , objektif utama penganjuran adalah untuk menyediakan platform kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) bagi mempromosikan produk mereka menjelang sambutan tahun baharu.
"Kami mahu menjadikan GF GALAU Food Festival sebagai platform santai untuk seluruh masyarakat datang bersama keluarga dan rakan-rakan, menikmati pelbagai hidangan menarik serta hiburan secara berhemah dan selamat," jelas Azlisham.

Bagi merealisasikan sasaran puluhan ribu pengunjung itu, GFF2025 menggabungkan pelbagai elemen tarikan untuk semua lapisan umur. Antara tarikan utama termasuklah gerai makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa , pameran produk gaya hidup , dan konsert artis popular pada setiap malam.
Antara barisan penghibur yang akan membuat persembahan termasuk Kristal, Ann Ways, Exceed, Keena Mentor dan Arca Band.
Selain tarikan hiburan, festival ini turut menawarkan tarikan nilai tambah menerusi cabutan bertuah istimewa dengan hadiah-hadiah menarik. Antara yang ditawarkan termasuk dua unit Scooter EV Bike , satu unit Sony PlayStation 5 , sebuah televisyen 50 inci , dan satu unit penghawa dingin.
Kemuncak festival pada 31 Disember dijangka menjadi tumpuan utama sambutan tahun baharu di Lembah Klang , dengan pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api yang spektakular.
Bagi usahawan atau mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai festival ini sebagai pempamer (booth), atau untuk sebarang pertanyaan lanjut, mereka boleh berhubung terus dengan wakil penganjur, Cik Sha, di talian 018-325 6339.





