top of page
  • Writer's pictureMYB

Heedan Pamer Kematangan Vokal Dalam 'Amarahmu'

Pastinya ramai pengguna media sosial sudah mengenali sosok 'BBNU', Heedan Mohd sebagai seorang 'influencer' dan penyanyi baru dalam industri muzik di Malaysia. Single pertama beliau 'Yang Terakhir' yang di terbitkan pada tahun 2019 mendapat sambutan serta berjaya meraih lebih dari 480,000 jumlah tontonan di platform Youtube.



Tidak terhenti disitu, nama Heedan kembali menjadi sebutan apabila berjaya diangkat sebagai pemenang minggu ke-11 dalam siri 'I Can See Your Voice' musim ke-4 pada 2021 selepas berjaya dipilih bergandingan dengan penyanyi Alif Satar.


Kini Heedan atau nama sebenarnya Nik Shahidan Nik Mohamad muncul dengan single terbaru berjudul 'Amarah Mu'. Lagu bergenre balada ini merupakan pertaruhan baru buat Heedan dalam usahanya untuk menempatkan diri sekaligus dikenali ramai dalam industri muzik tempatan.


Tuah buat Heedan apabila lagu ini turut dipilih sebagai salah satu OST dalam drama 'Bawah Blok' yang disiarkan di slot Lestary , TV3 pada Januari lalu.


Berdasarkan bakat yang dianugerahi Allah, Heedan bukan sahaja mampu bermain alat muzik dan menyanyi, bahkan beliau juga berkebolehan mencipta lagu. Menurut Heedan 'Amarah Mu' merupakan lagu ciptaan beliau bersama Knight Cydeen sewaktu Malaysia berada dalam tempoh PKP sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19. Menyentuh tentang lirik lagu Amarahmu, Heedan memberitahu lagu ini tentang kepercayaan dan kesetiaan yang diberikan oleh seseorang dalam perhubungan namun dibalas dengan pengkhianatan dan kekecewaan.


Heedan Mohd

"Ini merupakan single kedua saya yang sudah lama disiapkan pada 2020 tetapi terpaksa disimpan kerana negara melalui fasa pandemik Covid-19 ketika itu. Saya harapkan lagu ini dapat diterima oleh pendengar muzik tanah air," jelasnya


Heedan yang ditemui media pada majlis pelancaran 'Amarahmu' baru-baru ini di Redbox The Garden juga turut mempamerkan vokal yang lebih matang sesuai dengan susunan melodi dan lirik yang ditampilkan dalam lagu ini.


"Saya rasa lagu Amarah Mu mempunyai kekuatan dari segi melodi dan bait-bait lirik dengan susunan melodi yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat. Begitu juga dengan vokal saya dalam lagu ini. Jika dibandingkan dengan lagu terdahulu, saya boleh katakan vokal saya lebih matang",ujar Heedan.


Heedan juga memberitahu kini beliau dan beberapa artis dibawah pengurusan Awal Muzik seperti Zul Hadi, Syameer Azmi dan Danial Kifli bakal terlibat dalam siri Jelajah Suria Anggun Cotton Collection di beberapa lokasi seperti di Alor Setar dan Kuantan.


Single terbaharu, “Amarah Mu” nyanyian Heedan telah dilancarkan oleh Awal Muzik dan boleh mula distrim di semua pelantar penstriman muzik digital. Manakala video muzik rasmi lagu tersebut boleh mula ditonton di saluran YouTube Awal Muzik.

Comentários


bottom of page