Kempen 'Geng Kita' Astro Kids Siar Program TV Menarik Sempena Cuti Sekolah September Ini
top of page
  • Writer's pictureMYB

Kempen 'Geng Kita' Astro Kids Siar Program TV Menarik Sempena Cuti Sekolah September Ini


Musim sekolah kini tiba dan Astro Kids bakal menyajikan rancangan-rancangan original tempatan terbaharu untuk menjadi tatapan kanak-kanak malah golongan remaja serta seisi keluarga menerusi Kempen Geng Kita yang bakal bermula pada bulan September sehingga Oktober.


Tujuan utama Kempen Geng Kita adalah memupuk semangat kebersamaan di antara sahabat serta merapatkan silaturrahim sesama keluarga sempena kedatangan musim cuti sekolah nanti. Walaupun ramai keluarga rancak merancang untuk bercuti di dalam mahupun luar negara, Astro ingin memastikan hiburan premium sempena musim cuti ini tetap diberikan.


Kempen Geng Kita bakal diterajui tiga siri pelbagai genre yang diterbitkan khusus sempena musim cuti sekolah ini. Dengan landskap hiburan yang kian kompetitif, Astro Kids mempertaruhkan drama-drama original yang menyelit pelbagai genre dan elemen penceritaan yang bakal menarik minat golongan muda dan seisi keluarga untuk menonton. Selain daripada menjana minat terhadap kandungan-kandungan original tempatan, kempen ini turut mengetengahkan bakat-bakat baharu di pesada hiburan negara.


Astro turut membawakan Fun Escapade bermula 28 Ogos sehingga 18 September bertempat di IOI City Mall. Acara ini akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang disukai kanak-kanak. Mereka turut berpeluang bertemu watak-watak kartun popular seperti Pinkfong, Baby Shark, SpongeBob, Patrick, Mechamato, Omar & Hana dan banyak lagi. Para pelanggan Astro boleh menikmati keistimewaan khas serta diskaun eksklusif untuk pelbagai barangan dagangan di acara ini.



TA-DAA! akan mempersembahkan komedi keluarga berjudul ‘Senduk Swap’ yang akan bersiaran sebanyak 8 episod. Siri fiksyen fantasi ini dibintangi Dato’ Sri Eizlan Yusof, Fatimah Abu Bakar, Qasrina Karim dan Emma Sofea.


Siri komedi famili ini mengisahkan dua remaja, Ayu (Qasrina) dan Sofea (Emma) yang berasal dari dua latar belakang yang jauh berbeza. Ayu berasal dari kampung dan berazam untuk menjadi chef terkenal. Manakala Sofea, seorang fashionista yang hidup dalam kemewahan di bandar.


Mereka berjumpa pada hari pembukaan kolej dan terjadi sebuah kejadian misteri yang membuatkan mereka tertukar badan! Ayu dan Sofea perlu mengatasi kelemahan masing-masing untuk mendapatkan hidup mereka kembali.


Pengarah ‘Senduk Swap’ Jared Lee berkata, “Apabila saya disuruh untuk pitch sebuah siri untuk tontonan keluarga, saya teringat dua perkara—apakah rancangan kegemaran saya yang turut sesuai untuk seisi keluarga dan apakah rancangan tempatan yang lama kita tak tonton? Makanan dan minat saya terhadap elemen fantastical misalnya penukaran badan seperti ‘Soul’ daripada Pixar dan ‘Your Name’ oleh Makoto Shinkai terlintas di pemikiran saya. Lantas saya menggabungkan kedua-dua elemen ini dengan bantuan June, Leysha, Zahrin, serta pasukan TA-DAA! untuk menghasilkan ‘Senduk Swap’!”


“Rancangan ini dibuat untuk merapatkan silaturrahim ahli-ahli keluarga dan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar impian mereka. ‘Senduk Swap’ turut menerap elemen kemurnian dan keikhlasan serta semangat saling bantu membantu. Saya turut berharap agar rancangan ini dapat membuka peluang untuk para pelakon dan krew yang berbakat besar kerana tanpa mereka, ‘Senduk Swap’ tidak mungkin terjadi,” tambahnya lagi.


‘Senduk Swap’ akan ditayangkan pada 9 September setiap hari Jumaat pada jam 3 petang di TA-DAA! (saluran 612).



Rancangan live-action scripted nombor satu di saluran Astro Ceria, ‘SMK’ kembali dengan musim terbaharu yang bakal menyerikan musim sekolah ini. Bersiaran sebanyak 10 episod, ‘SMK 4’ diterajui Muhammad Shahidan (Idan Aedan), Mohd Wafiy Ilhan, Erissa Puteri, Mia Sara Nasuha, Elly Mazlein serta Aziz M.Osman.


‘SMK 4’ membuka tirainya ketika pasca-pandemik. Pada mulanya Adam (Idan) gembira untuk kembali ke sekolah kerana dia dapat berjumpa semula dengan kawan-kawannya. Malangnya, keadaan sekolah semakin teruk dan sikap kawan-kawannya yang tidak sama seperti dahulu. Kawan-kawan dan para guru menghadapi pelbagai kesulitan selepas wabak pandemik melanda.


Bukan setakat itu, malah sekolah mereka turut diancam untuk ditutup kerana seorang “Datuk” (Aziz) ingin membelinya untuk membina sebuah kilang. Untuk mengelakkan geng SMK berpisah buat selama-lamanya, Adam mendapatkan bantuan pelbagai pihak supaya sekolah tersebut dapat diselamatkan.


“Dalam ‘SMK’ musim 4, kita akan menerokai kehidupan sekumpulan remaja 16 tahun. Seperti yang kita tahu, usia 16 tahun amat mengelirukan - kita bukan lagi kanak-kanak walaupun kita akan berlari sepantas kilat bila terdengar loceng penjual aiskrim. Tetapi kita juga belum dewasa sebab masih berlari sepantas kilat bila terdengar loceng penjual aiskrim.

Pada usia ini kita celaru mencari identiti, mengalami perubahan fizikal yang mendadak dan merasai transisi emosi yang mendalam.


Dalam musim 4 ini, pelajar-pelajar SMK lebih telus dengan perasaan, lebih berani menjadi diri sendiri dan tidak takut menghadapi kesilapan.


Sebagai seorang dewasa yang berumur 39 tahun, banyak yang dapat saya pelajari daripada cerita pelajar-pelajar SMK musim ini, saya amat berbangga kerana-*bunyi loceng penjual aiskrim,” menurut pengarah SMK 4, Junad M. Nor.


“Secara peribadi, ‘SMK’ merupakan siri TV pertama saya sepanjang kerjaya saya. Musim ketiga ‘SMK’ serta ‘SMK 4’ merupakan catalysis saya dalam memenuhi impian saya dalam industri hiburan ini. Kisah pelajar-pelajar SMK yang mengharungi fasa berbeza merupakan cerita yang dikongsi bersama oleh ramai rakyat Malaysia. Saya berharap ‘SMK 4’ akan memberikan ilham kepada generasi muda Malaysia,” kata pengarah bersama, Khairi Anwar.


‘SMK 4’ akan ditayangkan pada 3 Oktober setiap hari Isnin pada jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611).



Astro Ceria dan Astro Tutor TV SK mengambil langkah berbeza kali ini di mana saluran-saluran ini mempersembahkan rancangan pendidikan berbentuk investigative comedy yang sesuai untuk murid-murid sekolah rendah yang perlu menguasai KBAT.


Bersiaran sebanyak 12 episod, ‘Skuad Detektif KBAT’ bakal dibarisi muka-muka muda seperti Adam Darwisyh, Isaac Lim, Airene Adriana, Alyssa Dezek serta didukung oleh pelakon-pelakon berpengalaman seperti Catriona Ross dan Douglas Lim.


‘Skuad Detektif KBAT’ mengisahkan empat sekawan iaitu Khai (Adam), Brian (Isaac), Ana (Aireen) dan Trisha (Alyssa) yang kemahiran yang berlainan dalam menyiasat seorang pencuri berlian antarabangsa yang bersembunyi di kejiranan mereka.


Mereka menggunakan teknik KBAT untuk menyelesaikan misteri demi misteri, tanpa menyedari mereka semakin terdedah kepada ancaman yang tak dijangka.


“Semasa saya diberi tugasan untuk mengendali ‘Skuad Detektif KBAT’, saya tertarik dengan jalan cerita siri investigative comedy yang melibatkan kanak-kanak serta berelemenkan informasi pendidikan. Tugasan utama saya adalah untuk memastikan cerita yang dipaparkan masih memenuhi kehendak pendidikan yang mampu membuat kanak-kanak terhibur.


“Pertama kali saya berjumpa Adam, Isaac, Aireen dan Alyssa; saya teruja melihat bakat mereka. Dengan bakat-bakat yang menakjubkan serta digabung dengan Douglas Lim dan Catriona Ross, penceritaan ‘Skuad Detektif KBAT’ bakal menggegarkan saluran Astro Ceria dan Astro Tutor TV SK kelak,” kata pengarah, Hasnul Hadi Suhadi.


“Saya berharap semua akan menikmati siri ini dan menjana minat kanak-kanak yang menonton untuk mempelajari KBAT secara lebih mendalam di sekolah mereka. KBAT adalah cool sepertimana kita kata dalam ‘Skuad Detektif KBAT’-- ‘KBAT HEBAT!’” tambahnya lagi.


‘Skuad Detektif KBAT’ akan ditayangkan pada 21 September setiap hari Rabu pada jam 3 petang di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Tutor TV SK (saluran 601).


Ketiga-tiga siri ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.




bottom of page