'Perjalanan' Meruntun Jiwa: Ernie Zakri Tumpah Rasa, Andi Rianto Puji Vokal ‘Mahal’
- MYB
- 24 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Diva vokal Malaysia, Ernie Zakri, kembali menggegarkan persada muzik serantau apabila tampil dengan buah tangan terbaharu, “Perjalanan”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser ternama Indonesia, Andi Rianto.

Bukan sekadar gandingan dua nama besar, lagu ini hadir dengan naratif yang cukup mendalam apabila ia menyelami kisah hidup, pengalaman, dan cabaran yang ditempuhi kedua-dua anak seni ini sepanjang perjalanan kerjaya mereka.
Menerusi lagu yang liriknya ditulis sepenuhnya oleh Ernie Zakri sendiri manakala komposisi dan produksi muzik oleh Andi Rianto, “Perjalanan” disifatkan sebagai refleksi dan penghargaan terhadap perjalanan setiap insan yang penuh warna-warni.
Ernie Zakri berkongsi, idea di sebalik “Perjalanan” tercetus apabila Andi Rianto meminta beliau menulis lirik sendiri mengenai perasaannya. Dari situlah, masing-masing mula berkongsi pengalaman hidup dan memutuskan untuk mengabadikannya dalam karya muzik.
Bagi maestro muzik Indonesia itu, inspirasi utama beliau datang daripada sosok Ernie Zakri. Andi Rianto merasakan ini adalah masa yang tepat untuk Ernie menceritakan duka dan suka yang telah dilalui dalam industri seni.
Dalam pada itu, Andi Rianto turut mendedahkan bahawa cabaran terbesarnya bukanlah pada aspek teknikal, tetapi memastikan bakat vokal Ernie diserlahkan sepenuhnya.
“Bagi saya, elemen muzik paling penting adalah vokal Ernie Zakri. Saya suka ‘tone’ dia, teknik dia, tapi paling penting ‘feeling’ (perasaan) yang dia bawa. Dia sangat penuh emosi bila menyanyi, dan itu yang saya mahu tonjolkan,” ujar Andi Rianto, yang juga produser lagu ini.
Beliau juga ingin semua peminat tahu betapa hebatnya Ernie, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penulis lagu.

Sementara itu, Ernie Zakri berharap karya ini dapat memberikan semangat kepada pendengar.
“Setiap orang ada perjalanan mereka, ada susah, ada senang. Sentiasa percaya ada sinar di hujung jalan. Dan jangan lupa untuk sentiasa berbuat baik, sebab kita tak tahu apa yang orang lain sedang lalui,” luah Ernie.
Lagu penuh jiwa ini juga menjadi lebih istimewa apabila ia telah dipilih sebagai Runut Bunyi Rasmi (OST) untuk drama terbaharu TV3, Cinta Anak Lorong.
Selepas pelancaran single ini, Ernie turut merancang untuk mengadakan sesi pertemuan peminat (fan meeting) yang berbeza, di mana beliau mahu peminat mendengar karya-karya lama dan baharunya secara lebih dekat. Kini, “Perjalanan” boleh didengarkan di semua platform digital.





