KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse: Filem Seram Thai Pertama Ketengah Elemen Kerohanian Islam
top of page
  • Writer's pictureMYB

KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse: Filem Seram Thai Pertama Ketengah Elemen Kerohanian Islam

Updated: Nov 4, 2023

Pernahkah anda terfikir bagaimana rasanya jika menggabungkan unsur-unsur kerohanian Islam dan seram Thai? Nah, jangan tertanya-tanya lagi kerana filem seram Thai Islam yang pertama sudah ada! Bertajuk "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse," filem ini telah mencipta fenomena di Thailand, menawan hati penonton dan mencipta sejarah sebagai filem pertama seumpamanya.


Filem "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse," mencipta sejarah perfileman Thailand sebagai filem seram pertama yang mengetengahkan elemen kerohanian Islam

Thailand sememangnya tidak asing lagi dalam menghasilkan filem seram berkualiti tinggi dan mendebarkan yang turut mendapat sambutan di kalangan peminat filem seram di Malaysia. Bagaimanapun, "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse" membawakan kelainan baru sebagai filem seram Islam pertama di negara itu. Sejak dikeluarkan pada 28 September lalu, ia bukan sahaja telah mencapai kejayaan box office di Thailand, malah ia turut mencetuskan rasa ingin tahu dan minat terhadap peminat filem genre seram diMalaysia. Masakan tidak, sedutan pendek atau 'trailer' rasmi filem ini sahaja telah meraih jumlah tiga juta tontonan yang mengagumkan di TikTok (@sukafilem).


Bagi memenuhi permintaan ramai peminat filem ini yang tidak sabar-sabar menanti tayangannya di Malaysia, Yusrych Global Sdn Bhd akan membawakan produksi ini, dengan kerjasama M Thirty Nine Co. Ltd. dan Monwichit Entertainment, ke 160 buah pawagam di seluruh negara bermula dari 2 November 2023.


Yusry Makmor, pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, menyatakan keyakinannya terhadap kejayaan filem itu di Malaysia kelak, memandangkan 'trailer' tular dan mencatat hasil kutipan luar biasa filem itu berjumlah lebih RM6 juta sekaligus berjaya meraih kutipan box office dalam tempoh hanya 11 hari selepas tayangan di Thailand.


Menurut Pengarah Kriangkrai Monvichit, idea untuk menghasilkan filem "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse" muncul apabila isterinya yang gemar menulis skrip secara bersendirian, sering terdengar bunyi yang aneh dan berasa bulu romanya meremang secara tiba-tiba serta mengalami kesejukan yang tidak dapat dijelaskan sehingga dia terpaksa menghentikan hasrat untuk terus menulis.


Tertarik dengan 'gangguan' ghaib ini, mereka memutuskan untuk mencipta sebuah filem seram yang menyoroti kisah akibat mencari bantuan atau membentuk pakatan dengan makhluk ghaib, terutamanya jin.


Pasangan itu, bersama barisan pelakon berbakat Thailand, terdiri dari Golf-Akara Lucas, Tubtim-Anyarin Terathananpat, Mo-Amena Pinit, Marika Phraekhieocharoen, Piyarat Jatupong, ThiF Phoom-on, Sontana Chitmanee, Hakeem Dhanawicit dan Ahmad Kasemiyah Dolah, akhirnya berjaya menghidupkan visi filem mereka menerusi skrip yang telah dihasilkan.


Seperti mana-mana filem seram, produksi penerbitan filem "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse" turut melalui beberapa kejadian pelik dan menyeramkan disepanjang penghasilan filem tersebut.


Golf-Akara Lucas, pelakon utama filem itu, pernah memberitahu dia ada merasakan kehadiran 'sesuatu' di sebelahnya semasa berbaring, namun mendapati tiada sesiapa di sana apabila dia menoleh untuk melihat. Selain itu, Lee Ping, seorang lagi pelakon, dan beberapa kru produksi mendakwa telah menyaksikan penampakan aneh, yang membawa kepada detik-detik cemas semasa penggambaran berjalan sehingga terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

 


Sinopsis


Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Win, yang berpindah bersama keluarganya ke kawasan terpencil di Narathiwat, Selatan Thailand, selepas merasakan bahawa mereka sedang dihantui oleh entiti ghaib.


Mereka tidak tahu bahawa mencari perlindungan ditempat itu akan membawa mereka ke dalam bahaya yang lebih besar. Ketika Win, isterinya, dan dua anak perempuannya, Mina dan Lin, terus mengalami gangguan yang mengerikan, mereka didorong ke dunia yang dipenuhi dengan makhluk misterius dan jahat.


Mampukah Win melindungi keluarga tercinta daripada cengkaman entiti ghaib ini? Apakah rahsia yang akan didedahkan semasa mereka membongkar misteri di sebalik pertemuan yang menghantui ini?

 

GALERI


Pengarah Kriangkrai berharap filem "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse" akan diterima baik oleh penonton di Malaysia, kerana filem itu meneroka tema yang dekat dengan budaya Thai dan Malaysia.


Dengan latar belakangnya di Selatan Thailand, yang turut berkongsi banyak persamaan dengan Malaysia dari segi agama dan budaya, Kriangkrai percaya penonton Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menonton filem ini sambil meneroka, memahami serta berhubung dengan jalan ceritanya.


Filem "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse" telah memecahkan stereotaip filem seram Thai dan berjaya memikat penonton dengan gabungan unik elemen kerohanian Islam dan seram. Kejayaannya di Thailand dan jangkaan yang dijananya di Malaysia adalah bukti potensi filem ini untuk menjadi hit box office.


Seperti yang dihasratkan oleh pengarah, filem ini membolehkan penonton merenung tentang akibat daripada berkecimpung dengan kuasa ghaib dan menjanjikan pengalaman yang menyejukkan tulang belakang tidak seperti yang lain. Bersedia untuk hanyut dalam ketakutan bersama "KHONG-KHAEK: The Djinn’s Curse." mulai 2 November 2023 di pawagam berdekatan anda.


bottom of page