Astro First terus melangkah tahun 2022 dengan deretan filem menarik dan pelbagai genre yang bakal menanti penonton serta penggemar filem Malaysia. Terbaru, filem pertama romantik drama yang akan dipersembahkan di platform Astro First bagi tahun ini, GRACIAS BARCELONA bakal menemui penonton bermula 13 Januari ini Di Pawagam Rumah Anda,
saluran 480.
Filem terbitan Azura Pictures ini mempertaruhkan gandingan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2015, Fathia Latiff bersama pelakon hebat, Kamal Adli. Ini merupakan kemunculan semula Fathia Latiff menerusi filem dan penampilan filem pertama Kamal Adli selepas berkahwin.
Gracias Barcelona menjalani sesi penggambaran di Barcelona, Sepanyol dan tentunya ia memaparkan sinematografi menarik buat tontonan. Antara lokasi popular yang menjadi latar seperti La Sagrada Familia, Stadium Camp Nou Football, Casa Batllo, Port Olympic Barcelona dan pantai Port Olimpic.
Malah, ia dipadatkan lagi dengan jalan cerita yang diinspirasikan daripada pengalaman pelajar ketika berada di negara asing dan cabaran sekembali ke tanah air untuk memulakan perjalanan kehidupan baru.
Berbeza dengan kebiasaan filem romantik, Gracias Barcelona mengetengahkan kisah percintaan yang tragis apabila cinta dan kesetiaan dikhianati. Malah, ia turut menyelitkan nilai kesetiaan dan cabaran yang dihadapi bagi pasangan baru dalam menempa alam perkahwinan.
Sementara itu, selain pelakon Fathia Latiff sebagai Fathia dan Kamal Adli sebagai Kamal, barisan pelakon lain yang turut menggerakkan jalan cerita ini adalah pelakon Afiq Muiz (sebagai orang ketiga), Bell Ngasri (rakan baik Kamal) dan Aleza Shadan (ibu Fathia).
Filem ini turut diiringi dengan lagu tema utama bertajuk ‘Gracias Barcelona’, nyanyian Nadia Hasnan, lirik oleh Leaism dan komposer oleh El Moe Hussaini. Mengikut tema filem, lagu ini turut digubah mengikut rentak Spanish, Flamenco dan Latin.
SINOPSIS
Kamal bertemu Fatiha di Barcelona, Sepanyol ketika mereka menjadi pelajar di Universiti yang sama. Pertemuan yang pada mulanya tiada membibitkan apa-apa perasaan, akhirnya bertukar kepada rasa cinta. Demi menghalalkan sebuah perhubungan, terutama ketika di negara asing, mereka mengambil keputusan untuk bernikah tanpa pengetahuan keluarga di tanah air. Kasih sayang Kamal terhadap Fatiha terlalu mendalam, tiada yang dapat memisahkan mereka dan sanggup berkorban apa saja demi Fatiha. Kehidupan dan dugaan hidup di negara asing berlainan, tiada dugaan dari keadaan sekeliling atau dari pihak ketiga.
Sekembalinya mereka ke tanahair, Fatiha sedang mengandung. Keluarga yang terasa dipinggirkan kerana tidak diberitahu akan perkahwinan mereka, mula menyisihkan diri. Tidak seperti yang dijangkakan, walaupun Kamal dan Fatiha mempunyai ijazah luar negara, sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka masih tidak mendapat peluang pekerjaan yang berpatutan dengan kelayakan mereka. Hiduplah Kamal dan Fatiha dalam serba kesempitan, apatah lagi dengan kehadiran bayi.
Dugaan dan ujian mula mendatang apabila dihimpit kesempitan hidup. Kasih Fatiha terhadap Kamal mula tergugat. Barulah Fatiha rasakan yang dia belum bersedia untuk hidup bekeluarga dan membesarkan seorang bayi dalam usia muda. Naluri mudanya mula mendambakan kesenangan hidup, tidak mahu memikul tanggungjawab membesarkan bayi dan hidup dalam kesempitan dengan suami yang tidak dapat memberinya kesenangan hidup.
Kehadiran kekasih lama Adam menambahkan konflik cinta Kamal dan Fatiha. Fatiha meninggalkan suami dan anak demi mengejar kesenangan hidup, lupa segala janji pada Kamal untuk sentiasa setia hidup bersama dalam susah dan senang. Kamal membawa diri mengembara ke negara negara di Eropah demi untuk melupakan kelukaan di hatinya. Akhirnya, Fatiha tersedar dari keterlanjurannya yang lari dari masalah dan mengejar kesenangan, hingga melupakan cinta dan kasih yang kuat tersimpul mati di hati Kamal.
Saksikan filem romantik drama, Gracias Barcelona yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 13 Januari 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.
Comentarios