top of page

Konsert Di Sebalik Aku : Hafiz Suip Turun Harga, Tiket Bermula RM148

  • Writer: MYB
    MYB
  • 1 Okt
  • 1 min membaca

KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Penyanyi Hafiz Suip, membawa berita gembira buat peminat setianya apabila harga tiket konsert solo beliau, Di Sebalik Aku: Hafiz Suip, diturunkan secara rasmi hasil sokongan daripada tiga penaja tempatan yang baru menyertai, iaitu Bienz, Solustra Perfum dan Finura.


Konsert Di Sebalik Aku : Hafiz Suip Turun Harga, Tiket Bermula RM148
Hafiz Suip turun harga tiket konsert, tiga penaja tampil sokong peminat

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media tergempar di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Valley, Bangsar, malam Selasa lalu. Konsert yang dijadual berlangsung pada 1 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dianjurkan oleh SAH Entertainment, dan dijangka menjadi malam penuh emosi yang merangkumi perjalanan seni Hafiz selama 16 tahun.



Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, sokongan padu daripada syarikat penaja membolehkan mereka mengambil inisiatif untuk menurunkan harga tiket agar lebih ramai peminat dapat hadir dan berkongsi momen istimewa ini.


“Sokongan syarikat penaja memberi ruang untuk kami menurunkan harga tiket agar lebih ramai peminat dapat hadir. Ini juga sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan mereka bersama Hafiz sejak awal kerjaya,” ujar Sufi.

Konsert ini turut menampilkan Adira dan Umai sebagai artis undangan, menjanjikan malam yang lebih meriah dan bersejarah buat peminat Hafiz. Lebih 4,000 penonton dijangka membanjiri Mega Star Arena bagi menyaksikan persembahan yang dianggap sebagai kemuncak karier seni Hafiz Suip.


Peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi Ticketmelon, di mana harga baharu tiket bermula dari serendah RM148 untuk kategori Matahari (harga asal RM188) sehingga RM588 untuk kategori Bahagiamu Deritaku (harga asal RM788).



Komen


bottom of page