Kota, Cinta & Harmoni: Artis Malaysia, Indonesia & Brunei Bersatu Dalam “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”
- MYB
- 1 hari lalu
- 2 min membaca
Kuala Lumpur — Dalam satu langkah berani merentas sempadan muzik serantau, tiga bintang muda dari Malaysia, Indonesia dan Brunei bergabung tenaga dalam sebuah kolaborasi yang menyentuh jiwa berjudul “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”. Lagu ini bukan sekadar karya pop biasa tapi ia adalah simbol persahabatan, nostalgia dan cinta yang merentasi tiga negara.

Menampilkan Nadhif Basalamah (Indonesia), Aisha Retno (Malaysia) dan Aziz Harun (Brunei), lagu ini lahir secara spontan ketika kunjungan Nadhif ke Kuala Lumpur sempena Aidiladha tahun lalu. Dalam sesi santai di studio Faithful Music, ketiga-tiga artis ini bertemu tanpa dirancang dan mula menulis lagu yang kini menjadi buah mulut peminat muzik serantau.
“Lagu ini buat saya teringat semua kenangan indah bersama kawan-kawan rapat di KL,” kata Aziz Harun, yang baru menetap di ibu kota.
“Saya cuma mahu habiskan masa di KL sambil menulis lagu bersama kawan baru. Tak sangka idea kecil itu berkembang menjadi lagu yang menghubungkan tiga negara,” tambah Nadhif.
“Lirik lagu ini ada rasa manis dan sedikit ‘cheeky’ bila seseorang cuba memujuk untuk sambung cuti di kota itu,” kongsi Aisha Retno.
Rakaman akhir lagu ini disempurnakan secara berasingan di negara masing-masing dan disatukan oleh penerbit terkenal Indonesia, Petra Sihombing, yang pernah bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Raisa dan Isyana Sarasvati. Sentuhan Petra memberikan nuansa moden dan emosi yang mendalam, menjadikan lagu ini sebuah karya pop kontemporari yang istimewa.
Dengan lirik yang menyentuh hati dan harmoni vokal yang lembut, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” menangkap rasa rindu yang membuatkan sebuah kota terasa berbeza tanpa insan istimewa di sisi.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.
Comments