top of page

Kristal X & Azlan & The Typewriter Bersatu Gegarkan Zepp KL Februari Ini dengan “Rockolusi Kuasa Dua”

  • Writer: MYB
    MYB
  • 8 Okt
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Belantika muzik tempatan bakal digegarkan dengan pengumuman kolaborasi berkuasa dua apabila dua pemuzik rock prolifik tanah air, kumpulan legenda Kristal X dan vokalis disegani Azlan & The Typewriter, dijadualkan berkongsi pentas dalam konsert eksklusif bertajuk "Rockolusi Kuasa Dua".


Kristal X & Azlan & The Typewriter Bersatu Gegarkan Zepp KL Februari Ini dengan “Rockolusi Kuasa Dua”
Kristal X dan Azlan & The Typewriter, bakal membuka tirai 2026 dengan konsert mega bertajuk “Rockolusi Kuasa Dua” yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026.

Penganjuran sulung oleh Republic Mokhmah Records pada tahun 2026 ini dilihat sebagai inisiatif terbaik untuk mengembalikan semarak karya kedua-dua artis yang masih kekal relevan dalam industri.

Konsert berskala besar ini akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026 jam 8 malam, menjanjikan malam penuh nostalgia dan tenaga. Bagi peminat Kristal X, ini adalah peluang keemasan untuk menyaksikan semula lagu-lagu malar segar seperti Memburu Impian, Luahan Hati, Suatu Kenangan, dan Seragam Hitam yang sudah lama tidak dipersembahkan secara langsung.


Menurut Encik Musa dari Republic Mokhmah Records, konsert ini bertujuan untuk mengembalikan nostalgia sewaktu kugiran itu lahir dan mempamerkan "betapa Kristal sudah menjadi 'semakin ganas' seiring mereka dewasa dalam industri".


Kristal X & Azlan & The Typewriter Bersatu Gegarkan Zepp KL Februari Ini dengan “Rockolusi Kuasa Dua”
Konsert ini turut menampilkan Nogori Arts School Voice Ensemble (NASVE) – kumpulan koir yang terdiri daripada 24 pelajar, termasuk anak kepada Lan Solo dan Azlan sendiri.

Sementara itu, buat penggemar Azlan & The Typewriter, konsert ini bakal menjadi saksi nyata kepada kehebatan vokal Azlan yang dikenali dengan kemampuan menyanyi dalam nada tinggi. Lagu popular beliau, Jangan Khianati Aku, yang pernah menjadi fenomena sehingga ke Indonesia, sudah pasti akan menjadi tumpuan.



Apa yang menjadikan konsert "Rockolusi Kuasa Dua" lebih menarik adalah penglibatan kumpulan koir NOGHORI ARTS SCHOOL VOICE ENSEMBLE (NASVE). Kumpulan koir yang merupakan juara peringkat negeri dan pemenang keempat peringkat kebangsaan ini akan membuat persembahan bersama dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Elemen paling emosional adalah apabila ia turut dianggotai oleh anak-anak kepada kedua-dua vokalis, iaitu anak kepada Lan Solo (Kristal X) dan anak kepada Azlan.


Kristal X & Azlan & The Typewriter Bersatu Gegarkan Zepp KL Februari Ini dengan “Rockolusi Kuasa Dua”
“Rockolusi Kuasa Dua” bukan sekadar konsert – ia adalah pernyataan bahawa muzik rock Malaysia masih hidup, bertenaga dan layak diraikan.

Lebih eksklusif lagi, Kristal X dan Azlan & The Typewriter buat pertama kalinya akan menyampaikan lagu baharu nyanyian bersama bertajuk "Rockolusi" yang diinspirasikan daripada tema konsert itu sendiri.


Kristal X & Azlan & The Typewriter Bersatu Gegarkan Zepp KL Februari Ini dengan “Rockolusi Kuasa Dua”
Pelan tempat duduk dan harga tiket

Bagi peminat yang ingin melakar sejarah bersama, tiket konsert sudah mula dijual sejak 23 September lalu. Peminat boleh mendapatkan tiket mengikut kategori harga bermula RM168, RM188, RM248, RM348, dan seterusnya Royal Box berharga RM8,000 untuk 10 orang.


Pembelian boleh dibuat melalui laman sesawang ilassotickets.com. Konsert ini diyakini bukan sekadar persembahan, tetapi saksi betapa industri muzik tempatan memiliki banyak pemuzik relevan yang perlu terus diberi sokongan.



bottom of page