KRU Gegar Lagi! Konsert Kelima GenKRU The Finale Gegarkan Bukit Jalil 22 November
- MYB
- 29 Sep
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Kumpulan legenda KRU sekali lagi mencipta sejarah apabila bakal menggegarkan Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November ini dengan konsert kelima mereka tahun ini, bertajuk GenKRU The Finale: One More Time.

Penganjuran konsert ini oleh ICON Entertainment, diterajui Iman Tang, adalah lanjutan daripada sambutan luar biasa terhadap empat konsert terdahulu yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert-konsert tersebut bukan sahaja mencatat kehadiran penuh setiap malam, malah mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Records — “Most Show in a Single Concert Series” dan “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”.
Menurut Iman, permintaan tinggi daripada peminat dan sokongan padu penaja menjadi pemangkin kepada penganjuran konsert kelima ini.
“Kami telah ‘berhari raya’ selama empat hari sebelum ini, dan tidak salah rasanya untuk melakukannya sekali lagi — sebagai finale,” katanya.
Beliau turut menyifatkan trend penganjuran konsert berhari-hari sebagai satu perkembangan positif dalam industri hiburan tempatan, selari dengan trend global.
KRU sendiri mengakui tidak menyangka akan kembali ke pentas untuk kali kelima.
“Kami melihat ini sebagai bukti bahawa pemuzik tempatan tidak lagi dipinggirkan. Ini adalah tanda industri kita sihat dan kami mahu terus menjadi gamechangers,” ujar Norman mewakili KRU.

Konsert GenKRU The Finale: One More Time dijangka menjadi penutup epik kepada tahun gemilang KRU, dengan penampilan khas, nostalgia era 90-an, dan semangat luar biasa daripada peminat setia mereka. Peminat yang ingin menonton konsert ini disarankan untuk datang dengan tema pakaian 90-an.
Konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu menawarkan lapan kategori tiket dengan harga bermula dari RM188 (MENGERTI) hingga RM558 (TERHANGAT DI PASARAN). Tiket boleh didapati melalui laman sesawang rasmi bermula 3 Oktober 2025 di laman sesawang https://www.ticket2u.com.my/genkruFinale. Untuk sebarang pertanyan,orang ramai boleh menghubungi talian 012-6530700.









Komen