Pemain piano terkenal dunia, Maksim Mrvica akan mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur pada 12 Februari 2025 yang akan datang. Konsert yang bertajuk 'Segmenti World Tour' ini akan berlangsung di Mega Star Arena pada jam 8.30 malam.
Maksim, yang berasal dari Šibenik, Croatia, telah mula menunjukkan bakatnya dalam permainan piano sejak berusia sembilan tahun. Walaupun menghadapi cabaran perang semasa zaman remajanya, beliau tetap gigih meneruskan pembelajarannya di beberapa institusi muzik terkemuka termasuk Akademi Muzik Zagreb, Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest, dan Konservatori Rusia Alexander Scriabin di Paris.
Dalam konsert yang dinanti-nantikan ini, Maksim akan memukau penonton dengan kebolehannya yang luar biasa, termasuk kemampuannya memainkan 16 nota dalam masa sesaat. Beliau akan diiringi oleh orkestra penuh sambil membawakan pelbagai repertoir daripada album terbarunya, "Segmenti", yang mengetengahkan gubahan hits popular kumpulan ABBA dan Queen, serta karya-karya klasik tidak lekang zaman daripada komposer tersohor seperti Chopin, Prokofiev dan Tchaikovsky.
Peminat muzik juga berpeluang mendengar persembahan hits popular Maksim seperti "Croatian Rhapsody", serta interpretasi beliau terhadap karya-karya terkenal seperti "Flight of the Bumblebee" dan tema-tema dari siri popular "Pirates of the Caribbean", "Game of Thrones" dan "Mission Impossible".
Tiket konsert yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment ini akan mula dijual pada 12 Disember 2024, jam 12 tengah hari melalui laman web www.ticketingtix.com. Harga tiket dibahagikan kepada lima kategori iaitu RM888 (VIP), RM688 (CAT 1), RM488 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dan RM188 (CAT 4).
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Instagram Lo-Fi Entertainment di www.instagram.com/lofi.entertainment atau di akaun Facebook di www.facebook.com/lofi.entertainmentkl.
Comentários