'Menjelang Magrib 2' Kembali Bawa Kisah Lebih Gelap & Seram November Ini.
- MYB
- 31false13 GMT+0000 (Coordinated Universal Time)
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan filem “Menjelang Magrib” pada tahun 2022, pengarah prolifik Helfi Kardit kini kembali dengan sekuel yang lebih gelap dan menyeramkan berjudul “Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai”. Filem ini masih mengekalkan kisah wanita yang dipasung, satu amalan tradisional yang masih dipercayai sebagai rawatan gangguan mental di sesetengah kawasan.

Menurut Helfi, inspirasi filem ini datang daripada pengalaman peribadinya ketika tinggal di Sumatera, di mana beliau menyaksikan sendiri seorang wanita yang dipasung untuk rawatan.
“Saya kekal dengan tema pasung kerana ia sangat dekat dengan pengalaman saya dan masih relevan dalam masyarakat,” katanya.

Berbeza dengan filem pertama, sekuel ini bukan kesinambungan tetapi sebuah spin-off yang berlatarbelakangkan tahun 1920 semasa era penjajahan Belanda. Ia mengisahkan seorang doktor muda, Giandra, yang berkonflik dengan amalan mistik seorang dukun dalam merawat gadis bernama Layla yang dipasung. Kisah ini turut melibatkan Rikke, seorang wartawan kacukan Belanda-tempatan yang ingin membongkar kebenaran di sebalik amalan tersebut.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes, serta menampilkan elemen budaya, mistik dan ketidakseimbangan sosial yang berlaku ketika zaman penjajahan.
Ditayangkan di Indonesia sejak 4 September lalu, filem ini telah menerima sambutan hangat dan jumlah penonton yang tinggi. Helfi berharap kejayaan tersebut akan berulang di Malaysia, memandangkan filem pertama mencatat kutipan hampir RM2 juta.
Bagi peminat genre seram dan kisah berunsur budaya, “Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai” akan mula menghantui pawagam seluruh negara bermula 20 November 2025.





