Meritus University Perkasa Modal Insan 'Laut & Udara' di Konvokesyen 2025
- MYB
- 3 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Meritus University melakar sejarah tersendiri apabila meraikan graduan tahun 2025 dalam satu majlis penuh bermakna pada Sabtu lalu yang mengangkat integrasi unik antara dua dunia kritikal iaitu maritim dan aeroangkasa.

Bertempat di kampus baharunya di Chan Sow Lin, majlis konvokesyen ini bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, malah menonjolkan peranan strategik institusi pendidikan tinggi tersebut dalam melahirkan tenaga kerja profesional yang bakal mengemudi sektor logistik, perdagangan laut, dan penerbangan negara di bawah satu ekosistem, melibatkan Meritus University, Meritus College, dan HM Aerospace.
Visi utama penubuhan Meritus University adalah untuk melahirkan pemimpin berwawasan. Dalam ucapan perasmiannya, Pengasas Meritus University, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola, menekankan bahawa aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara maritim sejati bergantung pada rakyatnya yang memiliki kemahiran, disiplin, dan visi yang kukuh.
Menurut beliau, universiti tersebut komited membentuk graduan yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi memiliki disiplin dan visi untuk memimpin ekosistem pengangkutan global.
“Aspirasi Malaysia untuk berdiri sebagai sebuah negara maritim sejati bergantung kepada rakyatnya... Meritus University komited membentuk bakat sebegini: graduan yang memperkukuh pelabuhan dan perkapalan, serta meningkatkan standard penerbangan,” tegas beliau.
Konvokesyen kali ini menyaksikan penganugerahan ijazah dan diploma kepada kumpulan graduan yang bakal mengisi kekosongan tenaga mahir dalam industri yang menyokong lebih 360,000 peluang pekerjaan di Malaysia.
Majlis tahun ini menyaksikan kejayaan 19 graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perniagaan Maritim, satu pencapaian yang mengukuhkan lagi reputasi universiti dalam melahirkan pakar industri perkapalan.

Selain itu, konvokesyen turut meraikan kejayaan graduan dalam pelbagai bidang profesional lain, termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kewangan, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), serta Diploma Pengurusan Hotel di bawah Meritus College.
Kecemerlangan dalam sektor aeroangkasa pula terbukti apabila seramai 96 kadet juruterbang dari HM Aerospace berjaya menamatkan latihan mereka dan menerima Lesen Juruterbang Komersial (CPL) yang dilengkapi dengan Instrument Rating dan Frozen ATPL.
Jumlah ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran 37 graduan Diploma Penerbangan (Latihan Juruterbang), yang kini bersedia menyertai industri penerbangan sebagai tenaga kerja terlatih.

Kejayaan ini turut disokong oleh rekod cemerlang HM Aerospace, cabang latihan penerbangan di bawah naungan kumpulan yang sama, yang sehingga kini telah melahirkan lebih 2,500 juruterbang komersial, termasuk 92 juruterbang wanita yang kini berkhidmat di syarikat penerbangan gergasi dunia seperti Emirates, Singapore Airlines dan Malaysia Airlines.
Pemilihan kampus Chan Sow Lin sebagai lokasi majlis buat julung kalinya turut membawa simbolik tersendiri. Ia mencerminkan persekitaran pembelajaran "sebenar" yang diterapkan oleh universiti milik Halim Mazmin Group ini, di mana pelajar didedahkan kepada ekosistem industri yang sinergi.
Dengan 90% perdagangan negara masih bergantung kepada laluan laut, Meritus University dilihat mengisi jurang kritikal dalam menyediakan bakat tempatan yang bersedia menghadapi cabaran ekonomi maritim global.
Majlis ini turut dihadiri oleh Canselor universiti, Tan Sri Rafidah Aziz, yang terus menjadi tulang belakang kepimpinan institusi dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi swasta negara.





