Penyanyi Khai Bahar dan Nabila Razali membuka tahun baharu dengan buah tangan istimewa buat peminat mereka menerusi lagu duet SELAGI KU ADA.
SELAGI KU ADA juga merupakan runut bunyi bagi drama Kerana Cinta Itu Ada (lakonan Nabila Razali & Aedy Ashraf) merupakan ciptaan sepenuhnya komposer dan penyanyi Amylea Azizan. Drama Kerana Cinta Itu Ada sedang bersiaran di Slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 petang.
SELAGI KU ADA merupakan lagu duet kedua Nabila Razali selepas melancarkan Tak Ingin Usai bersama penyanyi sensasi dari Indonesia, Keisya Levronka dan tujuh single sebelum ini, manakala lagu duet ke tujuh bagi Khai Bahar.
Nabila dan Khai Bahar ditemui pada majlis pelancaran SELAGI KU ADA di Dadi Cinema, Pavilion pada Rabu. Menurut Nabila, dia bersyukur projek istimewa itu berjalan lancar dan gembira dengan respon luar bisa peminat walaupun sebelum lagu ini dilancarkan secara rasmi.
"Alhamdulillah, saya bersyukur rancangan untuk menghasilkan lagu duet berjalan lancar. Juga berterima kasih kepada Khai yang sudi untuk menjadi rakan duet saya. Saya harap lagu ini dapat diterima peminat kami dan disukai pendengar muzik tempatan,” ujar Nabila
Sementara itu, Khai pula berkata, ini merupakan kolaborasi yang sememangnya ditunggu- tunggu.
“Alhamdulillah, ini adalah kolaborasi yang saya nantikan dan bersyukur semuanya berjalan seperti dirancang.Pertama kali dengar lagu ciptaan Amylea membuatkan saya teruja dan berharap peminat juga dapat jatuh cinta dengan lagu ini,” ujar Khai.
SELAGI KU ADA berkisahkan tentang pasangan yang terpaksa berjauhan dan merindukan satu sama lain setelah satu krisis yg telah memisahkan mereka berdua. Namun selagi masih ada waktu mereka akan cuba untuk kembali bersama.
Muzik video SELAGI KU ADA telah menjalani penggambaran selama dua hari di sebuah resort di Janda Baik, Pahang dan diarahkan sendiri oleh pengarah drama Kerana Cinta Itu Ada iaitu Azri Izhar.
SELAGI KU ADA merupakan kolaborasi 4 syarikat iaitu Nabila Razali Entertainment, Global Keynote, Alternate Records Sdn Bhd & Grateful Music Entertainment dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Lagu & muzik video rasmi SELAGI KU ADA boleh di strim dan ditonton di semua platform streaming bermula 11 Januari 2023 di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.
Single SELAGI KU ADA boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 11 Januari ini.
Comments