NAKI Lebarkan Sayap ke Indonesia, Bergabung dengan Mitty Zasia dalam “Lepas Pegangan”
- MYB
- 1 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu Malaysia, NAKI, terus mencipta gelombang baharu dalam industri muzik serantau apabila beliau mengumumkan kolaborasi terbarunya bersama penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Mitty Zasia. Kolaborasi ini hadir menerusi single berjudul “Lepas Pegangan”, yang turut menampilkan elemen lagu viral Mitty, “Yang Lain Boleh Hilang Asal Kau Jangan”.

Lagu ini bukan sekadar gandingan dua suara, tetapi juga penyatuan dua budaya muzik yang berbeza. Dicipta sepenuhnya oleh NAKI dan Mitty, “Lepas Pegangan” mengangkat tema melepaskan, menerima dan berdamai dengan kenyataan – menjadikannya lebih daripada sekadar lagu patah hati.
Menurut NAKI, proses kreatif lagu ini bermula dengan perkongsian kisah peribadi antara beliau dan Mitty.
“Kami sedar bahawa lagu ini tidak hanya terikat pada satu maksud, tetapi terbuka untuk pelbagai tafsiran agar semua pendengar dapat merasa dekat dengannya,” katanya.

Kolaborasi ini tercetus secara spontan ketika NAKI berada di Yogyakarta untuk sebuah 'writing camp'. Lawatan ringkas ke studio Mitty bertukar menjadi sesi rakaman penuh yang berlangsung hingga lewat malam.
“Saya terus ke studio dari lapangan terbang dengan bagasi besar dan mula merakam. Ia pengalaman yang menyeronokkan,” tambah NAKI.
Mitty pula menyifatkan kerjasama ini sebagai sesuatu yang “cepat dan penuh rasa”.
“Feeling aku bilang lagu ni perlu featuring. Bila jumpa NAKI, aku terus tawarkan lagu ni dan dia setuju. Dalam dua minggu, lagu siap sepenuhnya,” jelasnya.
Visual rasmi lagu ini turut dirakam secara kendiri oleh kedua-dua artis di lokasi masing-masing, menambahkan sentuhan peribadi kepada karya ini. “Lepas Pegangan” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala Official Visualizer boleh ditonton di saluran YouTube rasmi NAKI.
Komen