top of page

Nazrey Johani Kembali Bersama The Zikr Hidupkan Legenda “Mengemis Kasih”

  • Writer: MYB
    MYB
  • 5 jam lalu
  • 2 min membaca

Kuala Lumpur - Dunia nasyid kembali meriah! Kumpulan legenda The Zikr kini muncul dengan single terbaru berjudul “Mengemis Kasih”, hasil kolaborasi bersama Yabang, bekas vokalis kumpulan rock popular Khalifah.


ree

Lebih menarik, lagu ini juga menandakan kepulangan semula Nazrey Johani, suara emas yang pernah mengangkat nama nasyid ke puncak kegemilangan bersama kumpulan Raihan dan The Zikr suatu ketika dahulu.



Selepas beberapa tahun menyepi dan berdepan masalah kesihatan, Nazrey kini kembali dengan tenaga baharu. Lagu “Mengemis Kasih” menjadi tanda kebangkitan beliau bersama rakan-rakan lama dalam The Zikr.

“Saya bersyukur dapat kembali bersama The Zikr. Lagu ini diberi nafas moden, tapi tetap mengekalkan roh ketuhanan yang menjadi jiwa asalnya,” kata Nazrey.

Lagu ini asalnya ciptaan Nazrey bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi, dan kini diberi susunan muzik baharu yang lebih segar dengan penampilan khas Yabang. Gabungan dua suara berbeza – lembut dan garau – menjadikan lagu ini penuh emosi dan penghayatan.

Kumpulan The Zikr kini dianggotai oleh Amran Ibrahim (bekas Raihan), Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan, dan Rosdi Zahari.


Menurut Syamsul Masri, lagu-lagu The Zikr masih mendapat sambutan hebat di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Ramai masih dengar lagu-lagu lama kami. Sebab itu kami sepakat untuk kembali aktif dan hasilkan lagu baharu,” katanya.

Sebelum ini, mereka sudah melancarkan beberapa single seperti “Antara 2 Cinta” (2024), “Dunia Baru Islam” (2024) dan “Kembali” (2025).


Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, Nazrey Johani dan The Zikr bakal mengadakan Konsert Eksklusif “Mengemis Kasih” pada Januari 2026. Konsert ini dijangka membawa nostalgia buat semua peminat nasyid tanah air.


Menurut pengurus mereka, Mas Ayie Mas Omar, konsert itu juga akan menampilkan artis undangan khas yang akan diumumkan tidak lama lagi.


Video muzik “Mengemis Kasih” turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr, sebagai penghormatan kepada sejarah kumpulan ini yang pernah melahirkan legenda seperti Raihan.


Dengan kemunculan semula Nazrey Johani dan The Zikr, dunia nasyid membuktikan bahawa irama penuh dakwah ini masih relevan, segar dan menyentuh hati pendengar dari semua generasi.



“Mengemis Kasih” kini boleh ditonton di YouTube rasmi Rusa Islamic. Lagu yang membawa kasih, doa dan nostalgia – suara legenda yang kembali menghidupkan jiwa nasyid Malaysia.



Komen


bottom of page