top of page

Otafuku Sauce Malaysia Lebarkan Pelaburan, Kilang Halal Baharu Buka Ruang Pertumbuhan Besar Industri Perasa Jepun Di Malaysia

  • Writer: MYB
    MYB
  • 12 minit lalu
  • 3 min membaca

Sendayan, Negeri Sembilan – Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai hab halal global apabila Otafuku Sauce Malaysia Sdn. Bhd., usahasama antara Otafuku Sauce Co., Ltd. dari Jepun dan Sushi King Holdings Sdn. Bhd., merasmikan kilang dan pejabat baharu mereka di Sendayan TechValley. Fasiliti yang telah memperoleh pensijilan halal JAKIM itu mula beroperasi sejak Julai lalu, melambangkan satu lonjakan strategik dalam kapasiti pengeluaran dan perancangan eksport syarikat.


Foto 3 dari kiri Pengasas dan Pengerusi Eksekutif  Texchem Group, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Fumihiko Konishi, Foto (Tengah) Duta Besar Jepun ke Malaysia H.E Shikata Noriyuki, Foto 3 dari kanan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkilangan (Sumber), MIDA, Puan Surayu Susah  dan foto 2 dari kanan Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Otafuku Holdings Co., Ltd., Naoyoshi Sasaki
Foto 3 dari kiri Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Texchem Group, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Fumihiko Konishi, Foto (Tengah) Duta Besar Jepun ke Malaysia H.E Shikata Noriyuki, Foto 3 dari kanan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkilangan (Sumber), MIDA, Puan Surayu Susah dan foto 2 dari kanan Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Otafuku Holdings Co., Ltd., Naoyoshi Sasaki

Pembukaan rasmi turut disertai pemimpin industri serta pegawai kerajaan, dengan acara simbolik memotong reben, lawatan kilang, serta demonstrasi kulinari termasuk Okonomiyaki dan sushi, mempamerkan rangkaian perasa halal yang kini dihasilkan di fasiliti terkini tersebut.



Sejak ditubuhkan pada 2016, Otafuku Sauce Malaysia menempatkan diri sebagai pengeluar utama perasa Jepun halal di Malaysia, khususnya Sos Okonomi yang menjadi identiti global jenama itu. Menyedari permintaan makanan Jepun yang semakin meningkat, syarikat membuat pelaburan bernilai RM50 juta untuk membina kilang baharu ini.


Foto Kilang Baharu Otafuku Sauce Malaysia terletak di Sendayan Techvalley
Foto Kilang Baharu Otafuku Sauce Malaysia terletak di Sendayan Techvalley

Fasiliti canggih ini dilengkapi sistem pengisian separa automatik dan mesin pek kecil, membolehkan kapasiti pengeluaran meningkat sehingga lapan kali ganda berbanding kilang sebelumnya, satu peningkatan besar bagi memenuhi permintaan tempatan dan eksport.


Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid yang diwakili oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkilangan (Sumber), MIDA, Puan Surayu Susah menyifatkan pelaburan tersebut sebagai bukti komitmen syarikat Jepun terhadap ekosistem halal Malaysia.


Beliau menegaskan pelaburan ini, “selari dengan agenda negara untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mengukuhkan Malaysia sebagai hab halal utama dunia.”


Kini Otafuku Sauce Malaysia menghasilkan lebih 100 produk, merangkumi Sos Okonomi, Sos Teppanyaki, Sos Teriyaki, Sos pedas seperti Sos Kimchi dan Produk berasaskan cuka termasuk perasa sushi.


Daripada keseluruhan produk itu, 40% adalah jenama sendiri manakala 60% merupakan kontrak pembuatan (OEM). Syarikat juga menyediakan penyelesaian menu untuk industri makanan seperti sushi, ramen dan konsep makanan Jepun lain.


Bagi memastikan pematuhan halal, syarikat hanya menggunakan bahan mentah halal dan mengaplikasikan teknik formulasi inovatif. Contohnya, Sos Okonomi lazimnya menggunakan ramuan berasaskan makanan laut bagi mengekalkan rasa umami tanpa bergantung kepada daging.



Daripada keseluruhan jualan, 85% datang daripada pasaran tempatan, menjadikan Malaysia pasaran keutamaan syarikat. Baki 15% merupakan eksport ke Indonesia, Singapura, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, Jepun dan Negara Eropah lain


Indonesia kekal sebagai pasaran strategik utama memandangkan populasinya yang besar serta pasaran halal yang berkembang pantas. Syarikat turut merancang memperkukuh pemasaran digital dan penyertaan dalam pameran perdagangan bagi menembusi Timur Tengah dan Eropah dengan lebih agresif.


Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Otafuku Holdings Co., Ltd., Naoyoshi Sasaki, menyatakan komitmen syarikat untuk terus menghasilkan perasa halal berkualiti dengan resipi tradisi Jepun. Menurutnya, Malaysia memainkan peranan penting sebagai hab Asia Tenggara untuk produk Otafuku.


Otafuku Sauce Malaysia juga semakin aktif mengukuhkan jenama melalui demonstrasi memasak di pasar raya, sesi merasa di acara awam, perkongsian resipi dan kreativiti makanan Jepun di media sosial


Langkah ini bertujuan meningkatkan minat rakyat Malaysia terhadap masakan Jepun sambil mendidik pengguna mengenai penggunaan perasa halal moden.


Pengurusan syarikat turut menyasarkan penghasilan produk baharu yang lebih dekat dengan selera kulinari Malaysia, hasil maklum balas pengguna sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Pembukaan kilang baharu Otafuku Sauce Malaysia bukan sahaja simbol pertumbuhan syarikat, tetapi turut mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia dan Jepun terutamanya dalam industri makanan halal.


Dengan permintaan global terhadap produk halal yang terus meningkat, pelaburan ini dijangka membawa kesan limpahan ekonomi kepada sektor pengeluaran makanan, logistik serta rantaian bekalan tempatan.






bottom of page