Pelukan Angkasa Dinobat Juara AJL 36
top of page
  • Writer's pictureMYB

Pelukan Angkasa Dinobat Juara AJL 36

Lagu Pelukan Angkasa nyanyian SOG X Shila Amzah diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari World Trade Centre, Kuala Lumpur, di sini, malam tadi. Lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin itu menggondol hadiah utama berupa trofi berserta wang tunai berjumlah RM100,000.


AJL36
Pelukan Angkasa nyanyian SOG x Shila Amzah dinobat sebagai juara AJL edisi ke-36 malam tadi.

Naib Juara disandang oleh Marsha Milan menerusi lagu Cinta yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Haqiem Rusli dengan lagu yang berjudul Mimpi yang berjaya meraih hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.


Kemantapan vokal Aina Abdul ketika mendendangkan lagu Sepi membawa tuah buatnya apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.


Sementara itu persembahan luar biasa Marsha Milan ketika mendendangkan lagu Cinta membawa tuah buatnya apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah trofi berserta wang tunai RM18,000 tajaan NOIR Beauty Essence..Cantik dengan NOIR, Hanya NOIR.

Manakala Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL yang dibawakan oleh Siri OPPO Reno Seven, Lima G, Pakar Potret, sekali lagi menjadi milik Aina Abdul dan Khai Bahar dengan hadiah trofi berserta wang tunai RM5,000. Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL adalah berdasarkan jumlah undian tertinggi oleh para peminat di laman web rasmi www.anugerahjuaralagu.com yang telah berlangsung dari 9 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022.


Malam kemuncak AJL36 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh Mas Idayu, Dato’ Jamal Abdillah, Ayda Jebat dan Kumpulan Cassia. Manakala segmen interlude pula diisi dengan persembahan istimewa gandingan Kumpulan Wings dan orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik Datuk Ramli M.S yang berkonsepkan ‘Rock Orchestra’.


AJL36 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan gandingan Alif Satar dan Nabila Huda mengemudikan acara kemuncak, manakala gandingan Sissy Iman dan Shawn Lee sebagai hos di acara Karpet Merah dan Backstage AJL 36 yang disiarkan di saluran TV 9 dan Youtube TV3 Malaysia.


GALERI AJL 36

Penganjuran edisi AJL36 pada tahun ini diadakan pada skala kecil dan kembali dibuka kepada 200 orang terdiri dari petugas media dan penonton yang dijemput secara eksklusif oleh TV3. Bertemakan ‘Ini Rentak Kita’, Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36) menyatukan 12 lagu yang dipertandingkan daripada genre muzik yang berbeza menerusi gabungan rentak lagu-lagu tersebut.


Sementara itu, trofi AJL 36 tahun ini telah diubahsuai agar tampak lebih eksklusif dengan mengekalkan reka bentuk asal berupa ‘not muzik’ yang telah digunakan sepanjang 35 tahun Anugerah Juara Lagu diterbitkan.


Pengubahsuaian ini adalah di bahagian pangkalannya yang kelihatan lebih tinggi dan memudahkan pemenang untuk menggenggam trofi kejuaraan mereka dengan lebih yakin. Trofi Juara Lagu ini pasti menjadi aspirasi kepada finalis AJL 36 dan menjadi lambang kemegahan acara berprestij terbesar negara ini.


bottom of page