Suasana meriah dan penuh warna-warni menghiasi Hotel Grand Barakah Ampang semalam apabila Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) menganjurkan Malam Gala Gemalai Adat dan Budaya Nusantara yang menghimpunkan delegasi dari tujuh buah negara termasuk Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Maldives, Sweden dan German.
Program yang julung kali diadakan oleh Biro Kebudayaan dan Kesenian pertubuhan itu bukan sahaja berjaya mempertemukan tokoh-tokoh budaya dari pelbagai negara, malah turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara PSBM dengan World of Peace Organisation, mencerminkan komitmen pertubuhan ini dalam memperjuangkan keamanan global.
Presiden PSBM, Datuk Seri Paduka Ramle Mat Daly dalam ucapannya menegaskan bahawa pertubuhan yang ditubuhkan pada Mac 2021 ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan, tetapi turut mengambil pendekatan holistik dengan mengetengahkan aspek kebudayaan dan kesenian melalui biro-biro yang diterajui oleh golongan profesional.
"PSBM yang asalnya ditubuhkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 telah berkembang maju dengan penganjuran lebih 500 program kebajikan. Malah, pertubuhan ini pernah mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records atas kejayaan menjalankan program membantu gelandangan di Chow Kit selama 21 hari berturut-turut semasa Ramadan," jelas beliau.
Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya JKKN, Tuan Mohd Rizal Ismail dimeriahkan dengan 17 persembahan kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian warisan seni nusantara. Antara persembahan yang mencuri tumpuan adalah tarian Ulik Mayang dari Terengganu, Silat Tari, Dikir Barat, serta persembahan dari negara-negara jemputan.
Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Mohd Rizal menekankan kepentingan seni budaya sebagai medium diplomasi antarabangsa. "Budaya adalah jendela untuk memahami pandangan dan cara hidup masyarakat dunia. Pertukaran budaya seperti ini mampu mengukuhkan hubungan diplomatik antara negara," ujar beliau.
Program ini juga dilihat sebagai platform strategik untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia, bukan sahaja dari aspek pelancongan, malah turut menonjolkan keunikan adat dan budaya tempatan yang kaya dengan nilai-nilai murni.
Penganjuran Malam Gala Gemalai Adat dan Budaya Nusantara ini membuktikan kesungguhan PSBM dalam melestarikan warisan budaya sambil mengeratkan hubungan antarabangsa melalui medium kesenian, sekaligus menyokong agenda diplomasi budaya negara.
Comments