Petaling Jaya - Roborock, syarikat teknologi rumah pintar global yang berpangkalan di Beijing, telah mengembangkan sayapnya di Malaysia dengan pembukaan dua kedai jenama pertama di Sunway Pyramid dan The Starling. Majlis pembukaan yang berlangsung pada 10 Januari 2025 turut dimeriahkan dengan pelancaran model terbaharu vakum pintar mereka, Roborock Saros 10R.

Kedua-dua kedai ini bukan sekadar ruang jualan, tetapi direka sebagai pusat servis dan pengalaman pelanggan yang membolehkan pelanggan mencuba sendiri produk-produk Roborock secara langsung. Pengunjung berpeluang berinteraksi dengan pelbagai produk pembersihan pintar dalam persekitaran yang imersif, membantu mereka membuat keputusan pembelian yang lebih tepat.
"Pembukaan kedai jenama Roborock ini mencerminkan komitmen kami untuk membawa teknologi pembersihan yang premium dan boleh dipercayai kepada pengguna Malaysia," kata Jude Chen, Pengurus Jualan SEA Roborock semasa majlis pembukaan yang diserikan dengan persembahan tarian singa dan hiasan belon merah putih yang meriah.

Tarikan utama pelancaran ini adalah robot pembersih Saros 10R yang dilengkapi dengan sistem Starsight Autonomous 2.0. Berbeza dengan model-model terdahulu, Saros 10R menggunakan teknologi 3D Time-of-Flight (ToF) berkembar dan kamera RGB yang dipacu AI, membolehkannya memetakan persekitaran dengan lebih tepat sambil mengekalkan reka bentuk nipis setinggi 7.98 cm.
Robot pembersih pintar ini juga dilengkapi sistem pengemopan yang meniru teknik pengelapan manual, menjadikannya sesuai untuk rumah yang memerlukan pembersihan menyeluruh. Dengan aplikasi mudah alih yang mesra pengguna, pengguna boleh mengawal dan menyesuaikan pengalaman pembersihan mengikut keperluan mereka.

Bagi meraikan pembukaan kedai baharu ini, Roborock menawarkan diskaun 15% kepada 200 pembeli pertama untuk semua produk termasuk Saros 10R yang berharga RM6,399. Kedua-dua kedai ini juga berfungsi sebagai pusat servis, menawarkan perkhidmatan sokongan dan alat ganti tulen untuk pelanggan.
Menurut Grace Ooi, Pengarah Eksekutif Vivid Telecommunication Sdn. Bhd., pembukaan kedai-kedai ini adalah langkah strategik untuk mengukuhkan kehadiran Roborock di Malaysia. "Kami yakin bahawa pengalaman hands-on yang ditawarkan di kedai-kedai ini akan membantu pengguna Malaysia lebih memahami dan menghargai teknologi pembersihan pintar yang kami tawarkan," tambah beliau.
Roborock yang beroperasi di lebih 40 negara telah membina reputasi sebagai peneraju dalam teknologi pembersihan rumah pintar. Dengan pembukaan kedai-kedai baharu ini, syarikat tersebut mengukuhkan komitmennya untuk membawa inovasi pembersihan pintar kepada pengguna Malaysia.
Comments